
Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash berkata, perkara itu telah dilapangkan kerana Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi sedang bercuti kecemasan.
“Ia kini dijadualkan semula untuk didengar pada 28 Julai,” katanya kepada pemberita.
Peter yang juga ADUN Melalap di Sabah membuat permohonan itu pada 3 Jun bagi membolehkannya bertanding kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang perlu diadakan selewat-lewatnya Sept tahun depan.
Pada Mei 26, Azura menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Peter selepas didapati bersalah memalsukan surat daripada pejabat timbalan naib canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi kerja kontrak penyelenggaraan sistem.
Azura turut mengenakan denda RM50,000 terhadap Peter dan dia boleh dipenjara 15 bulan jika gagal membayarnya.
Tidak lama selepas disabitkan dengan kesalahan itu, Peter memohon penangguhan hukuman yang mana sebahagiannya dibenarkan.
Dia membayar denda itu, tetapi hukuman penjara digantung sementara menunggu rayuannya.
Peguam D Senthinathan, yang memfailkan afidavit untuk menyokong permohonan Peter, berkata terdapat keadaan khas untuk mewajarkan penangguhan sabitan itu.
Beliau berkata, pencalonan Peter untuk bertanding di Dewan Rakyat pada PRU15 boleh ditolak jika sabitan itu kekal.
Peter, pengarah urusan Syarikat Asli Jati ketika itu, didakwa memalsukan surat daripada pejabat timbalan naib canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan kenyataan palsu dengan niat menggunakannya untuk tujuan penipuan.
Kesalahan itu dikatakan dilakukan di pejabat setiausaha sulit utama perdana menteri di bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.