
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataan merujuk pengakuan Apandi bahawa, ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low memohon bantuan Apandi mengatur mesyuarat dengan Jabatan Peguam Negara, pada Mei lalu.
Menurut Mahathir, tindakan Apandi yang sanggup bersekongkol dengan Jho Low amat mencurigakan.
“Ini bukan sahaja satu “conflict of interest”. Lebih dari itu, ia adalah satu jenayah terancang untuk mencuri harta rakyat dan negara, ini membabitkan bukan sahaja Najib Razak dan Jho Low tetapi juga Apandi.
“Kerajaan hari ini bertanggungjawab untuk menyiasat kerana terdapat unsur kolusi dan subahat Apandi dalam jenayah 1MDB, untuk memastikan penyamun negara yang terbabit dalam jenayah terancang ini diadili dan dihukum,” katanya.
Beliau berkata, siasatan perlu dilakukan sama ada Apandi telah membuat keputusan untuk membersihkan Najib daripada sebarang salah laku dalam siasatan 1MDB sebelum ini, disebabkan kaitan bekas peguam negara itu dengan Jho Low.
Pada 16 Julai lalu, Apandi mengesahkan beliau dihubungi peguam Jho Low untuk mengatur pertemuan dengan Jabatan Peguam Negara bagi membincangkan penghantaran pulang wang 1MDB yang didakwa diseleweng oleh ahli perniagaan dalam buruan itu.
Namun, beliau berkata, rundingan itu gagal atas sebab yang tidak diketahuinya.
Pada hari yang sama, Peguam Negara Idrus Harun, dalam kenyataan, mengesahkan Jho Low, melakukan tawaran penyelesaian kepada kerajaan.
Beliau menegaskan kesemua tawaran penyelesaian menerusi wakil Jho Low ditolak pihaknya.
Sebelum ini dilaporkan Jho Low menawarkan kerajaan RM1.5 bilion untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya.
Menurut laporan The Edge yang memetik sumber, kerajaan bagaimanapun telah menolak tawaran tersebut.