33 unit pondok tahfiz musnah terbakar

33 unit pondok tahfiz musnah terbakar

Kedudukan pondok kayu yang rapat antara satu sama lain menyebabkan kebakaran pantas merebak.

Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa berlaku berikutan pondok tahfiz itu tidak berpenghuni dan sedang bercuti. (Gambar Bomba)
KUANTAN:
Kira-kira 33 unit pondok tahfiz Madrasah al-Imaniyah di Kampung Darat, Jalan Sungai Ular, di sini, musnah dalam kebakaran.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden berkenaan berikutan pondok tahfiz itu tidak berpenghuni kerana difahamkan penghuninya sedang bercuti.

Penolong Pengarah Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 9.39 pagi tadi sebelum 16 anggota dan pegawai bersama tiga jentera dari Balai Bomba Gebeng dan Indera Mahkota digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sejurus tiba api masih marak di premis yang menempatkan kira-kira 100 unit pondok kayu itu dan kedudukan pondok yang rapat menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat.

“Bagaimanapun, kebakaran dapat dikawal pada 10.29 pagi dan lebih 30 unit pondok musnah sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.