
Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata, perjanjian itu sebaliknya membuka jalan kepada sebarang kontroversi dirujuk kepada Peguam Jeneral Diraja yang ketika itu berpangkalan di Brunei.
Katanya, perjanjian tiga pihak berkenaan ketika itu membabitkan Sultan Sulu Sultan Jamal Al Alam, Maharaja Sabah Baron de Overbeck dan Alfred Dent daripada Syarikat British Borneo Utara, yang ditulis dalam bahasa Melayu menggunakan tulisan Jawi.
“Perjanjian tidak merujuk kepada parti untuk menyelesaikan sebarang pertikaian Borneo Utara (Sabah) melalui timbang tara,” katanya kepada FMT.
Peguam itu berkata demikian sebagai maklum balas terhadap penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa, yang pada 28 Feb menganugerahkan USD14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris kesultanan Sulu.
Firoz berkata, bekas peguam negara, Tommy Thomas, sepatutnya mencabar prosiding timbang tara apabila peguam berpangkalan di London, Paul H Cohen, yang mewakili waris Sulu menulis surat kepadanya berhubung perkara itu.
“Pada pandangan saya, peguam negara melakukan kesilapan kerana tidak menyertai prosiding mencabar bidang kuasa Stampa dan menyatakan prosiding tidak sah,” katanya.
Dalam surat ditulis kepada peguam mewakili waris Sulu itu, pada 2019, yang dilihat FMT, Thomas mengepilkan salinan penghakiman 1939 yang dibuat Mahkamah Tinggi Borneo Utara dan berkata Malaysia tidak mempertikai identiti mereka dan hak untuk menerima bayaran.
Thomas juga melahirkan kekesalan bahawa pembayaran kepada waris dihentikan, pada 2013, dan menambah Malaysia “kini bersedia dan sanggup” membayar semua tunggakan, bermula 2013 hingga 2019, dengan jumlah keseluruhan RM48,300 termasuk faedah.
Firoz berkata, surat Thomas kepada Cohen itu kelihatan mengiktiraf pihak yang menuntut merupakan waris yang berhak kepada kesultanan berkenaan dengan mengakui perjanjian itu masih berjalan.
Firoz berkata, Malaysia tidak mempunyai pilihan selain mengetepikan penganugerahan berkenaan, namun ia akan menjadi tugas “mencabar” disebabkan Artikel 5 Konvensyen New York.
“Sekiranya kita gagal mengetepikan perintah berkenaan, kita perlu mencabar penguatkuasaan penganugerahan itu menggunakan alasan dinyatakan dalam konvensyen terbabit,” katanya.
Konvensyen berkenaan merupakan perjanjian pelbagai pihak yang membolehkan penguatkuasaan penganugerahan timbang tara dalam kalangan ahlinya, di mana Malaysia merupakan pihak yang terbabit.
Awal bulan ini, The Financial Times, melaporkan rampasan aset Petronas didaftarkan di Luxembourg, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, susulan sebahagian daripada tindakan undang-undang dikemukakan pada 2017 oleh waris Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.
Bawah perjanjian itu, Jamal menyerahkan kedaulatan ke atas sebahagian besar Sabah kepada Dent dan Overbeck, yang bersetuju bahawa mereka mahu pun bakal waris mereka akan membayar sebanyak 5,000 dolar Mexico setahun kepada waris sultan.
Pada 1936, sultan Sulu terakhir yang diiktiraf secara rasmi, Jamalul Kiram II, mangkat tanpa waris dan pembayaran dihentikan buat sementara waktu sehingga Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Borneo Utara Charles F Macaskie menamakan sembilan waris dilantik oleh mahkamah, pada 1939.
Malaysia mengambil alih pembayaran itu kepada pewaris menurut perjanjian susulan kemerdekaan Sabah menerusi pembentukan Malaysia pada 1963.
Bagaimanapun, pembayaran itu yang bersamaan RM5,300 setahun dihentikan berikutan pencerobohan oleh lelaki bersenjata di Lahad Datu, Sabah.