
Peguam Joshua Tan mewakili Ismail ketika dihubungi berkata, melalui perintah injunksi kedua-dua belah pihak (inter-parte) itu, perdana menteri berjaya mendapatkan perintah supaya pemilik portal Agenda Daily memadamkan artikel bertajuk “Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan”.
Menurut Joshua, Agenda Daily Media juga diperintahkan tidak membuat sebarang kenyataan yang membayangkan Ismail terdesak untuk kekal sebagai perdana menteri, dan beliau “rayu” atau akan “rayu” kepada parti politik untuk tidak menarik balik sokongan terhadapnya.
Katanya, perintah itu dikeluarkan hakim Nik Hasmat Nik Mohamad pada prosiding kes saman berkenaan yang dijalankan secara dalam talian, menurut Berita Harian.
Katanya, hakim membenarkan permohonan itu tanpa perintah berhubung kos.
Pada 18 Feb lalu, Ismail berjaya mendapatkan perintah sama melalui permohonan injunksi ex-parte (sebelah pihak).
Peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili pemilik portal berkenaan, Muhamad Izwan Mohd Zubit yang dinamakan selaku defendan dalam saman itu, mengesahkan perkara berkenaan.
Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan, Ismail sebagai plaintif berkata, pada 30 Jan lalu, Agenda Daily Media menerbitkan artikel bertajuk “Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan” (artikel yang dipersoalkan) di laman webnya.
Ismail berkata, artikel itu jika dibaca secara keseluruhannya, mengandungi pelbagai kenyataan berniat jahat dan fitnah berhubung dirinya.