Mekanisme subsidi semasa tak boleh ditampung selamanya, kata Zafrul

Mekanisme subsidi semasa tak boleh ditampung selamanya, kata Zafrul

Menteri kewangan itu berkata hasil cukai tambahan susulan peningkatan harga minyak mentah dan sawit tidak mencukupi untuk menampung peningkatan subsidi itu.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata di sebalik kekangan kewangan, Putrajaya terus komited meningkatkan pemberian subsidi dengan memperkenalkan subsidi baharu yang tidak termasuk dalam Bajet 2022. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz memberi amaran bahawa mekanisme subsidi semasa melibatkan subsidi pukal kepada semua rakyat tidak dapat ditampung selamanya.

Dengan perbelanjaan subsidi dijangka meningkat kepada RM77.7 bil berbanding peruntukan sebanyak RM31 bilion dalam Bajet 2022, Zafrul berkata, hasil cukai tambahan susulan peningkatan harga minyak mentah dan sawit tidak mencukupi untuk menampung peningkatan subsidi itu.

“Walaupun harga minyak mentah dan sawit lebih tinggi ini diunjurkan menjana hasil cukai tambahan melebihi RM10 bilion tetapi peningkatan ini jauh tidak mencukupi untuk menampung peningkatan subsidi melebihi RM40 bilion,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Bagaimanapun, beliau berkata, di sebalik kekangan kewangan, Putrajaya terus komited meningkatkan pemberian subsidi dengan memperkenalkan subsidi baharu yang tidak termasuk dalam Bajet 2022.

“Ia melibatkan subsidi ayam dan telur serta elektrik bagi melindungi rakyat daripada kesan penuh kenaikan harga makanan dan komoditi dunia,” katanya.

Katanya, memandangkan harga komoditi global dijangka akan kekal pada paras tinggi untuk separuh tahun kedua 2022, kerajaan akan terus meneliti sumber hasil dan penjimatan tambahan bagi menampung keperluan tambahan subsidi bagi tempoh itu.

“Dengan itu, kerajaan sedang menyemak dan menilai semula keberkesanan setiap program subsidi dan insentif yang dilaksanakan bagi memastikan peruntukan yang optimum disediakan untuk setiap program dan membolehkan penjimatan yang diperoleh disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan,” katanya.

Menurutnya, kementerian juga sedang memperincikan kaedah pelaksanaan subsidi secara bersasar bagi barangan bersubsidi seperti produk petroleum agar pelaksanaannya diterima rakyat.

Zafrul menjawab pertanyaan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) yang meminta kerajaan menyatakan langkah kerajaan bagi memastikan peruntukan subsidi sebanyak RM80 bilion setahun dapat disediakan untuk kelangsungan hidup rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.