
Amir berkata sistem BUDI95 mampu memproses secara purata 3.1 juta transaksi sehari tanpa gangguan sekaligus menunjukkan kaedah itu diterima baik oleh rakyat.
“Tahap penggunaan yang tinggi menunjukkan mekanisme MyKad mudah diakses, stabil dan diterima baik oleh rakyat.
“Penggunaan MyKad sebagai mekanisme pengesahan kelayakan dalam penyasaran subsidi telah terbukti berkesan dan praktikal.
“Melalui BUDI95, rakyat menikmati harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter secara terus di pam minyak tanpa pendaftaran baharu atau proses yang rumit,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab Jimmy Puah (PH-Tebrau) yang meminta penjelasan mengenai kejayaan pelaksanaan reformasi fiskal seperti BUDI95 serta rancangan kerajaan untuk mereplikasikan mekanisme penyelarasan subsidi itu ke barangan lain seperti minyak masak dan gula.
Katanya, keberkesanan mekanisme MyKad turut disokong pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2025 yang merekodkan kadar penggunaan 99%, sekali gus membuktikan ia mesra pengguna tanpa memerlukan aplikasi tambahan.
“Pendekatan ini tidak memerlukan sistem baharu kerana rakyat hanya menggunakan kad pengenalan sedia ada. Pada masa yang sama, pengesahan berasaskan identiti warganegara membantu mengurangkan ketirisan kepada bukan warganegara.
“Melangkah ke hadapan, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji penggunaan MyKad untuk Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).”