
Pelan itu, yang dikenali sebagai Generasi Penamat (GEG), akan melarang penggunaan, pemilikan dan penjualan rokok dan produk vape kepada golongan yang lahir selepas 2007.
Pelan ini akan dijadikan kenyataan melalui Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok 2022, yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Khamis.
RUU itu mengusulkan kompaun bagi pesalah, serta memberi kuasa kepada pegawai penguat kuasa untuk bertindak tanpa waran menggeledah sebarang bagasi atau bekas dan memeriksa produk tembakau atau gantian tembakau serta peranti merokok.
Walaupun RUU itu dan niatnya mendapat banyak sokongan, namun wujud juga kebimbangan yang semakin ketara bahawa GEG dalam bentuk semasanya boleh membawa kepada pelbagai masalah lain, selain tidak produktif.
FMT melihat dengan lebih dekat perbahasan sekitar isu GEG.
Kenapa GEG?
Khairy berkata, matlamat RUU itu adalah untuk melindungi belia daripada tabiat merokok serta ketagihan kepada produk tembakau apabila meningkat usia, sambil mengurangkan bilangan perokok di Malaysia kepada kurang 5% menjelang 2040.
Beliau turut bercakap mengenai masa depan di mana generasi rakyat seterusnya “tidak kenal apa itu rokok”. Ini tidak mustahil, katanya, dan boleh menjadi realiti bagi negara.
“Jika anda mahu anak-anak dan cucu-cucu kita bebas daripada asap rokok, bersuara. Beritahu Ahli Parlimen anda untuk sokong undang-undang ini. Sokongan anda mampu melahirkan generasi yang lebih sihat. Mari lakukannya,” katanya dalam video menyeru sokongan rakyat Malaysia kepada RUU itu.
Kementerian Kesihatan (KKM) menganggarkan bahawa penyakit berkaitan tembakau boleh menyumbang kepada 27,000 kematian setahun, termasuk bukan perokok yang terdedah kepada asap rokok.
Kebimbangan dalam kalangan Ahli Parlimen
Bagaimanapun, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Kesihatan menggesa rancangan itu ditangguhkan selama tiga tahun, dengan berkata undang-undang baharu itu hanya patut dikuatkuasakan selepas penilaian selesai dan dibahaskan di Parlimen.
Pengerusinya, Dr Kelvin Yii berkata, kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan perlu diberi masa untuk melakukan persediaan bagi memastikan rancangan itu dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau juga berkata, tempoh tiga tahun itu harus digunakan untuk mengkaji kemungkinan wujudnya keperluan untuk menggubal undang-undang berasingan bagi produk tembakau mudah dan tidak mudah terbakar, serta vape, selaras dengan data dan sains yang muncul.
Larangan boleh bawa padah
Ahli ekonomi Carmelo Ferlito menyuarakan keraguan sama ada GEG akan mencapai matlamatnya, dengan berkata langkah serupa dengan larangan alkohol di Amerika Syarikat pada 1920an tidak berkesan.
“Ini bukan generasi penamat tetapi lebih kepada peralihan, daripada penggunaan sah kepada penggunaan haram,” katanya kepada FMT.
“Malaysia sudah pun mempunyai kadar penembusan tertinggi rokok terlarang,” katanya memetik laporan bahawa 60% daripada rokok yang dihisap di negara ini terdiri daripada jenis terlarang.
Ferlito, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran berkata, GEG hanya akan mendorong lebih ramai pengguna ke arah rokok terlarang yang lebih murah dan mudah didapati.
Beliau meramalkan kegiatan penyeludupan akan lebih berleluasa serta hasil kerajaan semakin berkurangan disebabkan pengelakan cukai produk terlarang, manakala kadar pengangguran pula akan terus meningkat apabila syarikat tembakau rugi.
Kerajaan boleh kehilangan kira-kira RM5 bilion hasil cukai setiap tahun disebabkan perdagangan rokok terlarang.
Pandang serius strategi pengurangan kemudaratan
Pakar kesihatan komuniti Dr Sharifa Ezat Wan Puteh khuatir GEG turut merangkumi vape, yang disifatkan sebagai alternatif yang kurang berbahaya berbanding rokok.
“Ada kajian dari UK yang menunjukkan bahawa vape ialah alternatif yang lebih selamat berbanding tembakau, malah ia boleh membantu menggantikan rokok.
“Vape turut mempunyai risiko dan ia harus dikawal selia. Saya sokong cadangan GEG tetapi akses kepada produk berisiko rendah tidak patut dihadkan,” katanya kepada FMT.
Sharifa, daripada Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata New Zealand turut menggesa pelaksanaan GEG bagi negaranya, namun tidak merangkumi larangan terhadap vape.
“Malah Jepun dan United Kingdom (UK) meluluskan penggunaan serta mengawal selia produk berisiko rendah tersebut. Di Malaysia, kita mengiktiraf strategi pengurangan kemudaratan seperti program pertukaran jarum dan rawatan terapi gantian metadon bagi penghidap HIV.
“Malaysia boleh mencontohi strategi pengurangan kemudaratan tembakau yang diguna pakai di New Zealand, UK dan Jepun, tetapi kita mesti akui data dan sains mengenai pengurangan kemudaratan.” katanya.
Beliau turut bimbang perokok yang tidak mempunyai akses kepada alternatif yang kurang berbahaya akan memilih produk terlarang.
Adakah pelan GEG akan jadi kenyataan?
Bukan semua ahli politik sependapat mengenai GEG, seperti konsensus rentas parti yang dicapai berhubung RUU anti-lompat parti. Pengkritik GEG berkata, kerajaan juga perlu menyelesaikan masalah-masalah lain, seperti rokok terlarang, terlebih dahulu.
Oleh itu, walaupun ramai yang dilihat menyokong idea di sebalik GEG, kejayaannya bergantung kepada sokongan daripada pelbagai pihak berkepentingan, terutamanya 220 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.