Hasutan: KDN jamin polis siasat siapa saja tanpa kira kedudukan

Hasutan: KDN jamin polis siasat siapa saja tanpa kira kedudukan

Penjelasan itu ialah jawapan kepada pertanyaan sama ada kenyataan yang memberi gambaran sebuah negeri akan berpisah dari Malaysia adalah satu kesalahan.

Kementerian Dalam Negeri melalui penguatkuasaan polis sentiasa komited dalam mendukung hak kebebasan bersuara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Dalam Negeri memberi jaminan polis akan menyiasat sesiapa sahaja yang melakukan hasutan tanpa mengira kedudukan mereka.

Penjelasan itu ialah jawapan kepada pertanyaan sama ada kenyataan yang memberi gambaran sebuah negeri akan berpisah dari Malaysia adalah satu kesalahan.

“KDN melalui penguatkuasaan pihak polis sentiasa komited dalam mendukung hak kebebasan bersuara, selagi mana ia mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

“Bagaimanapun, PDRM akan mengambil tindakan tegas dengan melakukan tangkapan dan pendakwaan terhadap mana-mana individu, tanpa mengira pangkat dan kedudukan, yang melakukan kesalahan menghasut atau menyebabkan kegentaran awam berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada soalan Azis Jamman (Warisan-Sepanggar).

Azis mempersoalkan sama ada membuat kenyataan yang kelihatan menghasut sesebuah negeri atau wilayah di negara ini untuk berpisah daripada Malaysia adalah satu kesalahan jenayah atau melanggar mana-mana undang-undang, tanpa mengira pihak yang menyatakannya.

Kementerian, dalam jawapannya tidak menyatakan sama ada ini satu kesalahan, menurut Malaysiakini.

Seruan untuk sesebuah negeri berpisah dari Malaysia adalah satu kesalahan bawah Akta Hasutan.

Polis telah menyoal Azis tahun lepas, selepas dia berkata di Dewan Rakyat bahawa terdapat gesaan yang semakin meningkat di Sabah supaya ia berpisah kerana peruntukan yang tidak adil di bawah belanjawan negara.

Ahli Parlimen mempunyai kekebalan undang-undang untuk bersuara secara bebas di Dewan Rakyat, tetapi ini tidak terpakai kepada kes melibatkan Akta Hasutan.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bulan lepas memberi amaran ““jangan sampai rakyat Johor mendesak untuk keluar dari Malaysia” selepas menyifatkan negeri itu seolah-olah dianaktirikan oleh kerajaan persekutuan berhubung soal peruntukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.