
Membandingkan RUU itu dengan RUU Di New Zealand, Yeo berkata, Ahli Parlimen di sana diberikan empat bulan untuk membahas cadangan pindaan kepada undang-undang mereka, tetapi Ahli Parlimen di Malaysia dijangka membuat keputusan dalam tempoh kurang seminggu.
Beliau mempersoalkan sama ada ia boleh dicapai berdasarkan keupayaan penguatkuasaan yang jauh lebih lemah di Malaysia.
“RUU itu memberikan kuasa meluas kepada pegawai penguat kuasa, tetapi di New Zealand, pegawai penguat kuasa hanya mempunyai kuasa untuk memasuki premis bukan kediaman untuk menyiasat, manakala tindakan penguatkuasaan lain memerlukan waran,” katanya dalam kenyataan.
Minggu lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin membentangkan RUU Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang melarang individu lahir pada dan selepas 2007 daripada merokok, membeli atau memiliki produk tembakau dan peranti merokok.
RUU itu mencadangkan denda bagi pesalah dan memberi kuasa kepada pegawai penguat kuasa untuk bertindak tanpa waran bagi membuka sebarang bagasi atau kontena dan memeriksa tembakau atau produk pengganti tembakau serta peranti merokok.
Yeo berkata, tiada laporan penilaian kesan pengawalseliaan disediakan kepada Ahli Parlimen untuk mempertimbangkan RUU itu dan kesannya kepada masyarakat secukupnya.
“Saya tidak mempunyai jawapan pasti terhadap kebanyakan soalan saya dan mahu mendengar pandangan pihak berkepentingan lain. Saya percaya kebanyakan Ahli Parlimen akan bersetuju juga,” kata bekas menteri tenaga, teknologi, sains, perubahan iklim dan alam sekitar itu.
Beliau berharap RUU itu akan dihantar kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains Dan Inovasi; Hal Ehwal Wanita dan Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial serta Kebebasan Asasi dan Hak-hak di bawah Perlembagaan untuk perbincangan lanjut,
Sementara itu, Persatuan Am Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura (MSCGPA) berkata, RUU GEG akan membunuh perniagaan mereka dan memaksa pengguna membeli rokok haram.
“MSCGPA menggesa Kementerian Kesihatan mempertimbangkan RUU itu kerana ia menjenayahkan pengguna dalam umur sah,” katanya dalam kenyataan sambil menambah kerajaan perlu meneruskan kempen pendidikan mengenai rokok di seluruh negara bagi mewujudkan kesedaran generasi muda.