Kerajaan fail rayuan isu kebebasan kehakiman dirujuk ke Mahkamah Persekutuan

Kerajaan fail rayuan isu kebebasan kehakiman dirujuk ke Mahkamah Persekutuan

Ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan tiga peguam untuk membawa perkara itu ke mahkamah tertinggi.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly, berkata notis telah difailkan dengan Mahkamah Rayuan.
PUTRAJAYA:
Kerajaan memfailkan rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk membenarkan tiga peguam merujuk isu Perlembagaan berhubung pengasingan kuasa dan kebebasan badan kehakiman ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly, berkata notis telah difailkan ke Mahkamah Rayuan.

“Ya, kami merayu dan telah memfailkan notis rayuan,” katanya menerusi mesej ringkas kepada FMT.

Sebagai perayu, kerajaan perlu memfailkan memorandum rayuan selepas mendapat penghakiman bertulis daripada Mahkamah Tinggi.

Pada 19 Jul, Hakim Mahkamah Tinggi Noorin Badaruddin, berkata kes itu adalah perkara penting kerana ia memberi kesan terhadap badan kehakiman secara keseluruhan.

“Mahkamah berpendapat bahawa, semakan akhir dan dimuktamadkan akan menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya ketika membenarkan permohonan Haris Ibrahim, Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai.

Permohonan itu dibuat susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Nazlan Ghazali.

Haris, yang juga seorang aktivis termasuk kedua-dua peguam itu, memfailkan tuntutan mahkamah pada Mei memohon pengisytiharan bahawa, badan penyiasatan jenayah, termasuk SPRM, tidak berhak atau sebaliknya dihalang daripada menyiasat hakim yang sedang berkhidmat di mahkamah atasan (Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan) melainkan hakim digantung tugas seperti dikehendaki mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga mahu mahkamah mengisytiharkan pendakwa raya tidak diberi kuasa untuk memula atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim yang sedang berkhidmat di mahkamah atasan.

Selain itu, mereka memohon pengisytiharan bahawa, siasatan SPRM terhadap Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

SPRM berkata, agensi itu membuka kertas siasatan berikutan laporan dibuat mengenai jumlah wang tidak dapat dijelaskan melebihi RM1 juta dalam akaun bank Nazlan.

Nazlan adalah hakim perbicaraan yang mensabit dan menjatuhkan hukuman terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak atas tujuh pertuduhan berkaitan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, pada 28 Jul 2020.

Sabitan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada Disember. Rayuan terhadap sabitan itu masih menunggu keputusan di Mahkamah Persekutuan.

Nazlan sebelum ini membuat laporan polis terhadap penulis blog dalam buruan Raja Petra Kamarudin, yang mendakwa dirinya disiasat kerana wang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.