Bersatu kecewa PM batal pertemuan dengan Hamzah saat akhir

Bersatu kecewa PM batal pertemuan dengan Hamzah saat akhir

Wan Saiful Wan Jan menuntut Ismail Sabri Yaakob menghormati PN, blok terbesar yang menyokong beliau sebagai perdana menteri.

Ismail Sabri Yaakob (kiri) dan Hamzah Zainudin sepatutnya bertemu petang semalam bagi membincangkan perjanjiannya dengan PN. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bersatu mendakwa Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob membatalkan pertemuan dengan Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainudin pada saat-saat akhir.

Ketua Penerangannya, Wan Saiful Wan Jan berkata, pertemuan itu sepatutnya diadakan petang semalam bagi membincangkan perjanjian berkaitan “terma-terma penting” antara Perikatan Nasional (PN) dan perdana menteri.

“PM setuju adakan perjumpaan tersebut semalam jam 2.30 petang. Tetapi saya agak kecewa perjumpaan itu dibatalkan minit-minit akhir oleh perdana menteri.

“Jadi, kita menuntut perdana menteri menunjukkan sikit rasa hormat kepada Ahli-ahli Parlimen di blok yang menyokong beliau,” katanya dalam sidang media di Jitra, Kedah.

Beliau berkata, jika Ismail boleh mengotakan janji dan menghormati Pakatan Harapan (PH), kenapa tidak berbuat demikian kepada PN sedangkan ia adalah blok terbesar yang menyokongnya menjadi perdana menteri.

Katanya, Bersatu menyokong Ismail kerana yakin beliau boleh menjadi perdana menteri yang mempunyai integriti.

“Tetapi, akhirnya sekarang (beliau dilihat cenderung) jilat golongan kleptokrat dalam Umno.

“Kita faham Ismail risau tak dapat watikah pencalonan daripada (Presiden Umno) Ahmad Zahid Hamidi, tetapi jangan sampai jual diri begitu sekali.”

Sebelum ini, media mendedahkan Ismail menandatangani perjanjian dengan PN sebelum beliau dilantik sebagai perdana menteri pada Ogos 2021.

Menurut salinan perjanjian yang dibocorkan, jawatan timbalan perdana menteri dijanjikan kepada tonggak PN, Bersatu.

Pada 28 Julai lalu, PN menyuarakan kekecewaan terhadap Ismail kerana dilihat “tidak bersungguh” memenuhi “terma penting” perjanjiannya dengan gabungan itu dan mahu menghantar wakiluntuk membincangkan pelaksanaan janji itu dalam masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.