Aktiviti ‘mat rempit’ bukan salah kerajaan, keluarga, kata polis dalam kajian

Aktiviti ‘mat rempit’ bukan salah kerajaan, keluarga, kata polis dalam kajian

Hasil kajian selama tiga tahun, gejala itu 90% berpunca pengaruh rakan sebaya.

Menerusi kajian itu, seramai 300 mat rempit tegar berusia 16 hingga 27 tahun ditemu bual dan didekati untuk mengenal pasti punca sebenar mereka terjebak dalam aktiviti merempit, kata Timbalan Ketua Polis Seri Alam Mohd Roslan Mohd Tahir. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menolak aktiviti ‘mat rempit’ disebabkan salah kerajaan, penguat kuasa mahu pun keluarga, sebaliknya hasil kajian selama tiga tahun mendapati gejala itu berpunca daripada pengaruh rakan sebaya dan kerelaan diri sendiri.

Timbalan Ketua Polis Seri Alam Mohd Roslan Mohd Tahir, berkata ia merupakan hasil dapatan kajian yang dilakukan pihaknya dalam tempoh itu bagi mengetahui faktor seseorang itu terbabit lumba haram.

Menurutnya, menerusi kajian itu, seramai 300 mat rempit tegar berusia 16 hingga 27 tahun di lima kawasan sekitar bandar raya ini, Seri Alam, Kulai, Skudai dan Iskandar Puteri ditemu bual dan didekati.

“Selama ini masing-masing menuding jari, mencari kesalahan (punca masalah mat rempit) ada yang menyalahkan kerajaan, keluarga dan masyarakat.

“Hasil daripada kajian melibatkan koresponden mat rempit tegar yang ditemu bual secara personal. Ia bukanlah salah kerajaan, penguatkuasa atau keluarga kerana (hasil kajian yang dilakukan) mendapati ia adalah salah diri sendiri dan paling penting penemuan saya ialah 90% adalah pengaruh rakan sebaya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku “Rempit Barah Dalam Masyarakat – Salah Siapa?”.

Menurut Bernama, Roslan berkata, masalah mat rempit boleh ditangani sekiranya pihak kerajaan menerusi badan-badan tertentu berterusan mengadakan program seperti kempen kesedaran.

“Antara penyelesaian kita dapat buat mungkin pihak berkuasa boleh mengadakan program untuk pemuda melalui kempen kesedaran…ibu bapa juga perlu main peranan untuk memberi nasihat,” katanya.

Beliau yang menghasilkan buku “Rempit Barah Dalam Masyarakat – Salah Siapa?” yang dilancarkan, hari ini, berkata kajiannya mengenai mat rempit dibukukan menerusi penulisan pertamanya itu.

Roslan berkata, buku berkenaan yang dijual RM30 senaskah menceritakan mengenai mat rempit secara keseluruhannya dan hasil-hasil kajian yang diperoleh.

“Mungkin buku ini tidak dibaca oleh mereka yang terjebak mat rempit, mungkin kawan-kawan mereka, jadi saya harap ia boleh memberi kesedaran dorongan sekali gus mereka dapat tahu apa impaknya kepada diri sendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.