Gempur pusat panggilan judi, 85 ditahan dalam Op Dadu Mega

Gempur pusat panggilan judi, 85 ditahan dalam Op Dadu Mega

Sindiket perjudian dalam talian sasar pelanggan tempatan dan luar negara, termasuk Filipina, China dan Australia.

Calling Centre diserbu
Keadaan di lokasi ketika operasi Op Dadu Mega, yang menyaksikan polis menyerbu 21 premis serentak di seluruh negara. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seramai 85 individu ditahan dalam serbuan serentak ke atas 21 premis seluruh negara, dalam siasatan polis ke atas aktiviti perjudian haram.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, mengumumkan 20 premis berkenaan dikenal pasti beroperasi sebagai ‘pusat panggilan’ yang mengurus dan mempromosikan laman web judi, manakala premis lain dikesan menjalankan aktiviti penipuan pelaburan yang tidak wujud.

Menurut polis, pusat panggilan berkenaan menyasarkan pelanggan tempatan dan luar negara, termasuk Filipina, China dan Australia.

“Seramai 85 individu ditahan terdiri daripada 62 lelaki dan 23 wanita yang disyaki bertindak sebagai operator serta khidmat pelanggan bagi aktiviti perjudian berkenaan.

“Tangkapan membabitkan 47 warga tempatan dan 38 warga asing, selain turut merampas pelbagai peralatan termasuk komputer, tablet, telefon bimbit dan peranti berkaitan,” menurut kenyataan.

Serbuan dijalankan menerusi Op Dadu Mega yang dilaksanakan dari 20 hingga 23 Dis. Kes disiasat bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Rumah Perjudian Terbuka, Kanun Keseksaan serta Akta Imigresen.

Semua suspek dibawa ke ibu pejabat polis daerah berkaitan untuk siasatan lanjut.

Menurut Kumar, sejak 1 Jan hingga 23 Dis tahun ini, polis menyerbu 117 premis yang dijadikan pusat panggilan perjudian dan menahan 713 individu yang terlibat dalam aktiviti berkenaan.

“Operasi seumpama ini akan terus dipergiatkan bagi membanteras aktiviti perjudian tanpa lesen,” katanya.

Polis menggesa orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa mengekang kegiatan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.