Suami isteri direman seminggu berkait kes dera budak 10 tahun

Suami isteri direman seminggu berkait kes dera budak 10 tahun

Kes itu terbongkar selepas penghantar makanan menjumpai kanak-kanak itu dalam keadaan terbiar, ketakutan dan menggigil di luar sebuah premis kedai.

johari yahya
Menurut Ketua Polis Nilai Johari Yahya, kedua-dua suspek yang berasal dari Sabah direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001. (Gambar Facebook)
NILAI:
Sepasang suami isteri direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penderaan kanak-kanak berusia 10 tahun yang berlaku di daerah ini.

Perintah reman terhadap pasangan berusia 22 tahun dan 30 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Azuin Mohd Talha di Mahkamah Seremban di sini hari ini.

Ketua Polis Nilai Johari Yahya berkata permohonan reman dibuat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

“Kedua-dua mereka berasal dari Sabah dan siasatan lanjut mengenai kes ini masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Johari dilaporkan berkata kes penderaan itu terbongkar pada Selasa lepas apabila seorang penghantar makanan menjumpai kanak-kanak tersebut dalam keadaan terbiar, ketakutan dan menggigil di luar sebuah premis kedai serbaneka di Star Valley Nilai pada 5.30 petang, sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Susulan itu, ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak terbabit ditahan di IPD Nilai bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.