
Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata pengesahan identiti dibuat hasil padanan cap jari dengan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), lapor Harian Metro.
Menurutnya, satu set cap jari mayat dihantar ke Pejabat Pendaftaran Penjenayah Malaysia, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk perbandingan.
“Hasil pemeriksaan mendapati cap jari tersebut sepadan dengan rekod dalam Sistem JPN atas nama Suri Narudin, yang dilaporkan hilang di Balai Polis Ampang pada 15 Dis lalu,” katanya.
Alzafny berkata laporan analisis DNA daripada Jabatan Kimia Malaysia turut mengesahkan identiti mangsa.
“Keputusan analisis menunjukkan hubungan kekeluargaan terdekat iaitu adik-beradik kandung dengan kebarangkalian yang sangat tinggi, sekali gus mengukuhkan pengesahan identiti mayat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan penemuan mayat seorang wanita di dalam beg yang ditanam di sebuah rumah tidak berpenghuni di Batu 4 Pedas.
Suri dilaporkan hilang sejak 8 Dis dan dua lelaki ditahan di Melaka dan Genting Sempah kurang 24 jam selepas penemuan mayat, dengan seorang daripadanya dipercayai suspek utama serta mempunyai hubungan dengan mangsa.