
Setiausaha Agung MIC, R T Rajasekaran berkata, pergantungan itu dibuat mengikut Artikel 61.1, perlembagaan MIC kerana bertentangan dengan visi dan misi parti.
“MIC sama sekali tidak menyokong mana-mana keganasan dalam apa jua bentuk dan cara sekali pun,” kataya dalam kenyataan.
Jelas beliau lagi, penggantungan ahli pemuda MIC itu tidak bermakna dia bersalah atas apa-apa tuduhan dikenakan terhadapnya.

“Parti terpaksa mengambil tindakan ke atas beliau memandangkan video kejadian tersebut telah tular di media sosial.
“Jika tiada tindakan diambil, ia akan menjadi teladan buruk kepada mana-mana pihak. Sebarang tindakan berlandaskan kepada penyiasatan dan tindakan seterusnya oleh polis kelak,” katanya,
Pada masa ini, polis sedang menjalankan siasatan berhubung serangan tersebut dan berharap ia dilakukan secara adil dan saksama.
Katanya, MIC tidak menyokong mana-mana pihak dalam perkara seumpama ini dan sentiasa memberi kerjasama untuk menyiasat.
Sementara itu, Ketua Pemuda MIC Raven Kumar Krishnasamy, meminta polis menyiasat tanpa rasa ‘takut atau memihak’ terhadap individu tersebut.
“Tindakan itu tidak mencerminkan pendirian MIC yang turut menolak tindakan kekerasan untuk menyelesaikan masalah antara individu terbabit,” katanya.
Terdahulu, FMT melaporkan, penahanan seorang ahli politik atas dakwaan menyerang Pengerusi Persatuan Harapan India Malaysia, M Mani Maran yang cedera dalam kejadian di luar sebuah salon rambut di Jalan Ipoh, petang semalam.
Suspek berusia 36 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, iaitu sengaja menyebabkan kecederaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.