Bersatu belum putus calon ketua pembangkang ganti Hamzah

Bersatu belum putus calon ketua pembangkang ganti Hamzah

Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali berkata kenyataan rasmi mengenai perkara itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Hamzah Zainudin Dewan rakyat
Bersatu memecat Timbalan Presiden Hamzah Zainudin yang juga ketua pembangkang, semalam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bersatu belum memutuskan calon baharu bagi jawatan ketua pembangkang menggantikan Hamzah Zainudin yang dipecat, semalam.

Setiausaha Agung Azmin Ali berkata, parti akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung jawatan itu dalam masa terdekat.

“(Jawatan ketua pembangkang), kita tidak putuskan lagi. Kita akan keluarkan satu kenyataan rasmi dalam masa terdekat,” katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di kediaman rasmi Presiden Muhyiddin Yassin.

Mesyuarat khas itu diadakan ketika parti berdepan kemelut dalaman susulan pemecatan Hamzah, yang juga sebelum ini memegang jawatan ketua pembangkang di Parlimen.

Semalam, Bersatu memecat Hamzah yang juga timbalan presiden parti di tengah kemelut kepimpinan antara beliau dan Muhyiddin.

Lembaga disiplin memaklumkan tindakan itu dibuat selepas Hamzah didapati melanggar peruntukan perlembagaan parti, termasuk kewajipan mematuhi kod etika dan tata kelakuan.

Mengulas lanjut, Azmin berkata Hamzah serta 16 lagi pimpinan yang dipecat diberi ruang mengemukakan rayuan kepada lembaga rayuan dalam tempoh 14 hari.

“Terpulang kepada mereka yang telah dijatuhkan hukuman untuk membuat rayuan. Dalam Bersatu ada kaedah untuk menguruskan krisis dan semua ahli tertakluk kepada perlembagaan parti,” katanya.

Menurutnya, mesyuarat khas MPT hari ini turut membincangkan usaha memperkemaskan parti sebagai persediaan menghadapi PRU16.

Beliau juga menafikan pemecatan Hamzah akan menjejaskan imej Bersatu.

“Kita tidak melihat begitu. Ini proses pendewasaan parti. Selepas sembilan tahun dibina, pastinya ada pindaan dan perubahan yang perlu dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Bersekutu Bersatu, R Sri Sanjeevan, berkata MPT memberi mandat penuh kepada Muhyiddin untuk membuat keputusan berhubung calon ketua pembangkang baharu.

Beliau turut menafikan dakwaan Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Chong Fat Full, mengenai kemungkinan gelombang keluar ahli secara besar-besaran.

“Dakwaan dua pertiga atau satu pertiga ahli keluar tidak betul. Jika benar, sila tunjukkan nombor dan nama.

“Berkenaan dengan peletakan jawatan (Chong) belum ada apa-apa surat rasmi daripada beliau. Jadi nak kata berita itu betul atau tidak, saya pun tak pasti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.