
Kemenangan pasangan nombor 11 dunia itu mengubat kedukaan peminat badminton tanah air selepas perserorangan negara, Ng Tze Yong, sekadar berpuas hati dengan perak, susulan tumpas kepada pemain India, Lakshya Sen.
Pearly-Thinaah menyumbang pingat emas ketujuh kontinjen negara selepas menundukkan pasangan Chloe Birch-Lauren Smith hanya dalam tempoh tidak sampai 30 minit, lapor Astro Awani.
Dalam pada itu, Tze Yong berhasrat mengekalkan momentum pada penampilan sulung bersaing dengan pemain elit dunia pada Kejohanan Dunia di Tokyo selepas layak beraksi susulan penarikan diri pemain dari negara lain.
Pemain berusia 22 tahun yang berada pada rangking 42 dunia itu menggantikan Lee Zii Jia berikutan penarikan diri pemain perseorangan profesional tersebut daripada temasya Sukan Komanwel edisi kali ini.
“Saya tak jangka menang (pingat perak), sejujurnya saya puas hati dengan Sukan Komanwel kali ini kerana saya rasa saya berada di tahap terbaik di sini.
“Saya tidak pasti sama ada boleh berbuat demikian (mengekalkan prestasi) dalam kejohanan akan datang tetapi berharap dapat membawa momentum ini ke Kejohanan Dunia. Pingat perak ini pasti mendorong saya untuk memberi cabaran di Tokyo,” katanya menurut Bernama.
Tze Yong juga berharap dapat meningkatkan stamina selain beraksi menentang pemain ranking teratas seterusnya dalam usaha menimba lebih banyak pengalaman bermain di peringkat intensiti tinggi.