
Pada aksi akhir itu yang berlangsung di National Exhibition Centre (NEC) itu, Tze Yong sekadar berpuas hati dengan perak selepas tewas 21-19, 9-21, 16-21, dalam tempoh lebih sejam.
Tze Yong yang turun selaku pemain bukan pilihan menampilkan aksi lebih baik di set pertama apabila lebih tenang, meskipun diberi tentangan sengit oleh naib juara kejohanan Seluruh England (All England) dari India itu, sebelum menang 21-19.
Bersambung set kedua, pemain berusia 22 tahun itu bermula cukup yakin sehingga menyebabkan Sen sedikit kelam kabut, namun jaguh India itu kembali memperkemaskan permainan bagi memimpin perlawanan 11-9, lapor Kosmo.
Kemudian, secara tiba-tiba Sen mula mendapat keyakinan selain mengeluarkan permainan sebenar bagi menjarakkan diri dengan Tze Yong sebelum memastikan kemenangan 21-9 dan mengheret perlawanan ke set penentuan.
Memasuki set ketiga, Tze Yong memulakan aksi dengan positif, namun Sen yang dapat mengesan Tze Yong mula kepenatan mengambil kesempatan melakukan asakan sehingga berjaya menjarakkan diri 14-9.
Ketika perlawanan hampir ke penghujung, Tze Yong ada melakukan beberapa kesilapan mudah yang menyebabkan Sen mendapat lebih keyakinan sebelum memastikan pingat emas menjadi miliknya menerusi kemenangan 21-16.