
Bersih dalam kenyataan menyeru semua ahli Dewan Negara menjunjung tinggi semangat demokrasi berparlimen dengan menyokong akta itu yang bakal diundi di Dewan Negara esok.
“Merujuk kepada laporan, pindaan Perlembagaan Persekutuan (No 3) Bil 2022 mungkin gagal untuk memperoleh majoriti dua per tiga di Dewan Negara sekiranya 12 senator daripada Bersatu tidak hadir, berkecuali atau tidak menyokongnya.
“Sekarang, Dewan Negara mempunyai 60 senator termasuk 22 daripada blok Perikatan Nasional (Bersatu-12, PAS-8, Gerakan-2) dan pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan daripada 47 ahli Dewan Negara,” kata Bersih.
Bersih berkata, perkembangan politik antara Umno dan Bersatu sejak minggu lalu tidak sepatutnya mengganggu perjalanan pindaan itu selain semua ahli Dewan Negara perlu mengutamakan kepentingan negara berbanding kehendak parti dalam hal berkenaan.
Bersih turut menyeru semua 12 ahli Dewan Negara daripada Bersatu untuk menyatakan kepada umum pendirian mereka berkenaan pindaan akta anti-lompat parti sebelum esok.
Sebelum ini, FMT melaporkan ketegangan antara Umno dan Bersatu mencetuskan kebimbangan bahawa senator yang dicalonkan oleh Bersatu mungkin menghalang kelulusan rang undang-undang (RUU) anti-lompat parti di Dewan Negara.
RUU yang diluluskan Dewan Rakyat bulan lalu akan dibentangkan untuk dibahaskan di Dewan Negara esok.
Sumber memberitahu FMT, wujud kebimbangan bahawa 12 senator Bersatu akan memanfaatkan bilangan mereka untuk menyekat RUU itu demi kepentingan parti.