
Bekas pensyarah kanan dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Jeniri Amir berkata parti itu masih bergelut mendapat sokongan padu di tempat asalnya, Sabah, dan tindakan terbaru melebar sayap juga bertentangan matlamat asal perjuangannya ketika ditubuhkan pada Oktober 2016.
“Langkah Warisan memperluaskan langkah ke Semenanjung silap dan sumbang. Sepatutnya tumpu perhatian di Sabah saja. Kalau di Sabah pun bergelut untuk mendapatkan pengaruh, apatah lagi di Semenanjung,” katanya kepada FMT.
“Agenda kepelbagaian kaum juga tidak akan berjaya, dan untuk Warisan memberi kesan pada PRU15 hanya angan-angan.”

Beliau berkata Warisan juga sukar bertapak di Semenanjung kerana tidak “berakar umbi” di sini, sebaliknya “dilahirkan” untuk rakyat Sabah dan pengaruh pemimpin utamanya, Shafie Apdal juga tidak sama gah ketika duduk di kerusi Ketua Menteri Sabah.
“Sebagai sebuah parti yang tidak berakar umbi di Semenanjung tetapi berpangkalan di Sabah, saya tidak yakin mereka ada kekuatan dari segi modal politik.
“Tiada nama besar di situ. Shafie pun bukan Shafie yang sebelum ini, sejak dia terpelanting dari kerusi Ketua Menteri Sabah, imej beliau terpukul teruk. (Pengaruh Warisan) tidak sama lagi,” katanya.
Pada pelancaran Warisan Pulau Pinang 7 Ogos lalu, Naib Presiden Warisan Junz Wong berkata tindakan parti itu melebarkan sayap ke Semenanjung bertujuan memecahkan tembok politik perkauman yang membelenggu wilayah berkenaan sejak sekian lama. Parti itu bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), pada pilihan raya negeri Johor, pada Mac, tetapi semua calon tewas dan kehilangan deposit.

Sementara itu, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia pula berkata Warisan perlu membuktikan kepada pengundi bahawa parti itu bukan hanya “payung” kepada ahli politik yang ingin “bertukar kolam”.
“Jika Warisan hanya menjadi payung kepada bekas ahli parti-parti besar di Semenanjung antaranya Jeff Ooi dan Danny Law dari DAP, pengundi belum cukup dapat diyakinkan untuk memindahkan undi mereka kepada Warisan,” katanya yang menyifatkan frasa “politik berbilang kaum” dibawa Warisan itu terlalu kabur.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata Warisan bakal berdepan kesukaran jika bergerak solo dan perlu mencari rakan yang kuat pengaruhnya untuk memancing undi.

“Mereka memerlukan gandingan dengan parti di Semenanjung yang sudah lama bertapak di Semenanjung untuk melakukan sesuatu,” katanya yang kurang yakin strategi rentas kaum dibawa Warisan itu mampu memberi kelainan kepada selera pengundi.
“Hakikatnya, pengundi di Semenanjung lebih selesa dengan parti politik yang akar umbinya di Semenanjung, sama juga parti atau pengundi di Borneo lebih selesa dan percaya kepada parti politik yang berasal dari Borneo sendiri,” kata Azmi.
Warisan ditubuhkan bersama beberapa ahli politik Sabah pada 2016 sebagai Parti Warisan Sabah bertujuan memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat negeri itu, tetapi dijenamakan semula sebagai Warisan pada 17 Dis dalam usaha melebarkan sayap ke Semenanjung sebagai parti nasional.