Dakwaan Adun Warisan Pati meningkat di Sabah ‘mengelirukan’, kata Pemuda PGRS

Dakwaan Adun Warisan Pati meningkat di Sabah ‘mengelirukan’, kata Pemuda PGRS

Sayap itu berkata dakwaan tersebut tidak berlandaskan tafsiran data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia.

Arial view of city - Kota Kinabalu, Sabah
Jabatan Perangkaan Malaysia pada 24 Dis mendedahkan bahawa jumlah bukan warganegara yang direkodkan di Kota Kinabalu adalah seramai 125,400 orang.
PETALING JAYA:
Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) membidas beberapa Adun Warisan kerana mengaitkan peningkatan jumlah bukan warganegara di Sabah dengan isu pendatang tanpa izin (Pati), sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘mengelirukan’.

Dalam satu kenyataan, sayap itu berkata dakwaan sedemikian tidak berlandaskan tafsiran data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Cubaan Warisan memutarbelitkan data jelas menunjukkan usaha untuk menutup rekod lama mereka dalam isu Pati. Rakyat Sabah tidak memerlukan tajuk sensasi, sebaliknya penjelasan berfakta dan penyelesaian sebenar,” katanya.

DOSM pada 24 Dis mendedahkan bahawa jumlah bukan warganegara yang direkodkan di Kota Kinabalu adalah seramai 125,400 orang.

Adun Warisan, Loi Kok Liang (Api-Api), Samuel Wong (Luyang), Edna Jessica Majimbun (Inanam) dan Chin Tek Ming (Kapayan), dalam kenyataan bersama, berkata angka DOSM itu menunjukkan peningkatan mendadak sebanyak 46,300 orang atau 58.5% berbanding angka pada 2021.

Mereka berkata peningkatan tersebut menimbulkan persoalan, memandangkan dasar kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah–Pakatan Harapan sejak 2020 menekankan usaha mengurangkan jumlah warga asing dan penduduk bukan warganegara di negeri itu.

Adun Warisan itu turut mempersoalkan komitmen kerajaan negeri dalam menangani isu penduduk bukan warganegara, berikutan peningkatan jumlah tersebut setiap tahun.

Bagaimanapun, Pemuda PGRS berkata istilah bukan warganegara bukan sahaja merujuk kepada Pati, tetapi juga Pendatang Asing Dengan Izin (Padi) yang termasuk pekerja dengan permit sah, pemegang pas kerja sementara, tanggungan mereka serta pelajar.

“Pada hakikatnya, Padi membentuk majoriti, manakala PATI hanyalah sebahagian kecil, tidak seperti gambaran mengelirukan oleh pemimpin Warisan.

“Peningkatan angka ini turut dipengaruhi oleh pemulihan ekonomi pasca-Covid-19 dan migrasi ekonomi ke pusat bandar utama seperti Kota Kinabalu,” katanya.

Katanya, pelaksanaan Pendataan Digital Warga Asing di Sabah sepanjang dua tahun lalu juga mungkin memberi kesan kepada angka tersebut.

“Pendataan ini tidak mewujudkan kemasukan baharu, sebaliknya ia mendedahkan jumlah sebenar pekerja sedia ada yang sebelum ini tidak direkodkan secara telus.

“Pemuda PGRS kekal konsisten dengan pendiriannya bahawa isu keselamatan dan kedaulatan negeri mesti ditangani melalui data yang tepat, penguatkuasaan berkesan dan dasar yang bertanggungjawab, bukannya permainan persepsi politik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.