Pemuda Umno serah pelan tambah baik industri p-panggilan kepada menteri

Pemuda Umno serah pelan tambah baik industri p-panggilan kepada menteri

Dalam pertemuan diadakan Kementerian Pengangkutan bersetuju mengambil kira pelan penambahbaikan ekonomi gig p-panggilan itu.

Asyraf Wajdi Dusuki (empat dari kiri) menyerahkan pelan penambahbaikan eko-sistem ekonomi gig p-panggilan kepada Wee Ka Siong.  (Gambar Facebook Asyraf Wajdi)
PETALING JAYA:
Pemuda Umno menyerahkan pelan penambahbaikan industri gig p-panggilan kepada Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong menerusi sesi dialog dan perbincangan.

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dalam pertemuan itu, kementerian itu bersetuju mengambil kira pelan penambahbaikan itu yang dibangunkan bersama Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Katanya, antara perkara dipersetujui kementerian itu termasuk penetapan harga lantai kadar upah bayaran perkhidmatan pengambilan dan penghantaran pesanan.

“Pemuda Umno juga menggesa syarikat penyedia seperti Grab, Foodpanda, Lalamove supaya menambah baik sistem peta digital di aplikasi syarikat mereka supaya jarak perjalanan adalah selaras dengan sistem peta aplikasi di Google atau Waze.

“Selain itu, pelan keselamatan operasi rakan penghantar p-panggilan seperti muatan barangan dibawa, tempoh masa yang ditetapkan dalam penghantaran makanan dan barangan juga perlu ditingkatkan.

“Dua lagi perkara diutarakan adalah agar syarikat penyedia memberi perlindungan kemalangan serta telus dalam terma dan syarat tuntutan selain
mewajibkan semua penghantar mendaftar dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso,” katanya di Facebook.

Asyraf berkata, Wee dalam pertemuan itu turut menyokong resolusi utama persidangan meja bulat yang dianjurkan Pemuda Umno dengan wakil-wakil penghantar seluruh negara pada 20 Sep 2021.

Katanya, antara tiga resolusi utama itu adalah mencadangkan status individu terlibat dalam industri e-panggilan dan p-panggilan diiktiraf sebagai pekerja dan dilindungi oleh Akta Kerja 1955 dan akta-akta berkaitan.

“Selain itu, dua lagi resolusi utama mewujudkan sebuah badan kawal selia yang mengkaji keperluan peraturan lebih adil dan realistik dan memastikan kaedah terbaik untuk penyedia perkhidmatan menyediakan perlindungan sosial buat penghantar.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.