Aktivis Turun adakan protes ‘rai’ setahun Ismail PM

Aktivis Turun adakan protes ‘rai’ setahun Ismail PM

Jawatankuasa Turun berkata bantahan digelar 'Himpunan Kerajaan Gagal' akan berlangsung di hadapan kompleks beli-belah Sogo.

Jawatankuasa Turun berkata tidak ada satu pun tuntutan mereka yang disuarakan dalam tunjuk perasaan bulan lalu ditunaikan kerajaan.
PETALING JAYA:
Satu bantahan sempena ulang tahun pertama Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri akan diadakan di Kuala Lumpur pada 20 Ogos ini oleh sekumpulan aktivis.

Jawatankuasa Turun berkata, bantahan yang digelar “Himpunan Kerajaan Gagal” akan berlangsung pada 2 petang di hadapan kompleks beli-belah Sogo.

Dalam kenyataan, jawatankuasa itu berkata Ismail telah mewarisi legasi “kerajaan yang gagal” kerana beliau dan beberapa anggota Kabinet didakwa gagal menangani masalah besar dalam negara.

“Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang diumumkan Ismail 44 hari lalu ternyata sebuah jawatankuasa yang gagal menangani inflasi kerana harga barang tetap sedang meningkat.

“Tiada sebarang tindakan ataupun bantuan tambahan disalurkan kepada rakyat yang dihimpit dengan kos sara hidup,” katanya.

Jawatankuasa Turun juga berkata, tidak ada satu pun tuntutan mereka yang disuarakan dalam tunjuk perasaan bulan lalu ditunaikan kerajaan.

“Malah, kita disajikan dengan masalah dan skandal tambahan seperti ketirisan yang melibatkan kapal tempur pesisir (LCS) yang mencecah RM9 bilion,” katanya.

Jawatankuasa itu mengemukakan lima tuntutan mendesak kerajaan memotong gaji menteri, mengekalkan subsidi, menyalurkan bantuan bermaruah, mengawal harga barang dan menyelesaikan isu jaminan bekalan makanan.

Mereka turut melahirkan rasa tidak senang terhadap cara kerajaan menangani banjir besar pada Disember tahun lalu dan rampasan aset oleh individu yang dikatakan sebagai waris kesultanan Sulu.

Ia merupakan himpunan kedua digerakkan kumpulan itu dalam tempoh sebulan. Pada 23 Julai, polis menghalang penunjuk perasaan “Himpunan Turun” yang berkumpul di Sogo daripada berarak ke Dataran Merdeka.

Himpunan Turun pada 23 Julai lalu dihadiri kira-kira 100 orang terdiri daripada mahasiswa, ahli parti politik dan beberapa individu.

Antara pemimpin pembangkang yang hadir dalam himpunan itu Ahli Parlimen Kapar (PKR) Abdullah Sani Abdul Hamid, Ketua Pemuda PKR Adam Adli, ADUN Ketari (DAP) Young Syefura Othman dan ADUN Puteri Wangsa (Muda) Amira Aisya Abdul Aziz.

Polis juga telah memanggil penganjur dan peserta himpunan itu untuk disoal siasat bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.