
Kisah Zaitun Ibrahim, 35, yang cekal membuat kuih itu menggunakan satu tangan untuk jualan di Padang Polo di sini dilaporkan FMT pada 8 Ogos lalu.
Zaitun mendapat sumbangan berupa mesin pengadun tepung, sebuah ketuhar dan wang tunai dalam kunjungan pemimpin DAP, Nga Kor Ming dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning Jenny Choy.
“Saya menjual donat untuk menyara kehidupan kerana tidak terima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebab tiada dokumen pengenalan diri.
“Sekarang boleh buat banyak lagi untuk dijual, sebelum ini banyak juga adunan rosak bila buat guna tangan,” katanya yang turut menerima RM2,000 daripada ADUN Kepayang, Dr Ko Chong Sin.

Kisah Zaitun, seorang orang kurang upaya (OKU), yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri mendapat perhatian warganet kerana kegigihannya mencari rezeki atas usaha sendiri.
Difahamkan, ibu bapanya yang merupakan warga Thailand tidak mendaftarkan kelahiran Zaitun di Malaysia.
Zaitun turut menaruh harapan agar kerajaan mempertimbangkan untuk memberikannya taraf warganegara menerusi permohonan dibuat sebuah pertubuhan kerajaan (NGO), AJ We Care di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Sementara itu, Nga mengajak masyarakat mencontohi kegigihan Zaitun menjadi rezeki dengan usaha sendiri di sebalik kecacatan fizikalnya.
Beliau juga berharap wanita itu diberikan status warganegara.