Protes rasuah, bukan konsert, DAP beritahu Pemuda PAS

Protes rasuah, bukan konsert, DAP beritahu Pemuda PAS

Charles Santiago berkata, beliau akan menyertai sekiranya PAS menganjurkan himpunan protes menentang isu-isu seperti skandal projek kapal tempur pesisir.

Charles Santiago berkata lebih baik jika usaha tentangan Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari itu dibuat untuk membantah rasuah berbanding konsert artis antarabangsa.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen DAP menggesa Pemuda PAS menganjurkan protes di seluruh negara terhadap rasuah dan bukannya konsert artis antarabangsa.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, lebih baik jika usaha tentangan Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari itu dibuat untuk membantah rasuah, dengan memetik isu projek kapal tempur pesisir (LCS).

“Saya menyeru Pemuda PAS untuk menganjurkan protes rasuah di seluruh negara dan saya memberi jaminan bahawa saya akan menyertai mereka dalam protes itu,” katanya di Facebook, sambil menambah bahawa beliau akan menunggu respons Fadhli.

Semalam, Fadhli, yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, menggesa kerajaan membatalkan konsert sedemikian kerana ia menggalakkan budaya hedonisme menular dan dilihat tidak bersesuaian serta bertentangan dengan Islam sebagai agama persekutuan.

“Pihak kami tidak teragak-agak untuk menggerakkan tentangan di seluruh negara jika ia tidak diendahkan,” katanya di Facebook.

Fadhli membuat gesaan sama pada Jumaat lalu, apabila beliau menegaskan penganjuran bertalu-talu konsert mega adalah “kerja gila menjemput kemurkaan Allah”.

Kenyataan itu dibuat tidak sampai 24 jam selepas Billie Eilish mengadakan konsert “Happier Than Ever, The World Tour” di Stadium Nasional Bukit Jalil malam sebelumnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.