DBKL teliti semula kesesuaian konsert di KL, kata Shahidan

DBKL teliti semula kesesuaian konsert di KL, kata Shahidan

Menteri Wilayah Persekutuan berkata terdapat rungutan konsert yang dibawa itu tidak menepati pembangunan insan.

Shahidan Kassim berkata penelitian ini melibatkan konsert akan datang agar sesuai penganjuran di Wilayah Persekutuan. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan meneliti semula kesesuaian mengadakan konsert di ibu kota termasuk di Wilayah Persekutuan susulan mendapat rungutan dan aduan negatif daripada sesetengah pihak.

Menterinya, Shahidan Kassim berkata, penelitian semula itu bagi memastikan kesesuaiannya dengan penganjuran konsert di Wilayah Persekutuan.

“Jangan terleka dengan hiburan melampau. Meskipun di Kuala Lumpur ini banyak konsert diluluskan oleh badan penapis di DBKL, namun kami akan lihat semula kebenaran yang dikeluarkan itu bagi memastikan kesesuaiannya dengan Wilayah Persekutuan,” katanya pada sidang media Sempena Hari Belia Negara Peringkat Wilayah Persekutuan di Taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur.

Sebelum ini terdapat gesaan daripada Pemuda PAS supaya kerajaan membatalkan konsert artis antarabangsa kerana ia menggalakkan penularan budaya hedonisme dan dilihat tidak bersesuaian serta bertentangan dengan Islam sebagai agama Persekutuan.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, terdapat juga rungutan konsert yang dibawa itu tidak menepati pembangunan insan.

Katanya, dalam berhibur, beliau juga mahu ada kesan positif yang diterima penonton.

“Belia memerlukan pengisian insan untuk menjadi belia pelapis. Apabila bercakap mengenai belia bukan mengenai konsert sahaja tetapi mesti ada pengisian ekonomi.

“Bagi saya, ekonomi penting dan pendidikan yang harus diberi perhatian,” katanya yang tidak memperincikan secara lanjut mengenai cadangannya itu.

Shahidan juga berkata, sepatutnya konsert tidak mendatangkan apa-apa kesan negatif.

Bagaimanapun, Shahidan berkata penelitian semula tidak melibatkan konsert yang telah diluluskan.

“Konsert yang belum berlaku, kita akan lihat semula,” katanya.

Sementara itu, Shahidan tidak mempunyai maklumat mengenai gesaan Pemuda PAS supaya kerajaan membatalkan konsert artis antarabangsa.

Bagaimanapun, beliau berkata, sedia untuk berbincang dengan semua pihak.

“Ini memastikan kebaikan untuk rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.