Bincang dengan MCA jika anda mahu tanding di Pulai, Jazlan beritahu MIC

Bincang dengan MCA jika anda mahu tanding di Pulai, Jazlan beritahu MIC

Nur Jazlan Mohamed berkata, beliau hanya akan menyokong MIC bertanding di kerusi itu, jika MCA bersetuju memberi laluan.

Nur Jazlan Mohamed berkata, MIC juga perlu berkorban dengan membenarkan Umno bertanding di kerusi Parlimen Tapah, yang majoriti pengundinya ialah orang Melayu.(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed meminta MIC berunding dengan MCA, jika ia mahu bertanding di kerusi Parlimen Pulai pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau sebelum ini mencabar Timbalan Presiden MIC, M Saravanan bertanding di Pulai, selepas dikritik kerana mendakwa Umno tidak boleh lagi bergantung kepada MIC dan MCA dalam PRU.

Nur Jazlan menyifatkan Ketua Penerangan MIC Johor, S Deva yang tampil menyahut cabarannya untuk bertanding di Pulai semalam sebagai calon “lightweight”.

“Walaupun asalnya saya tawarkan kerusi itu kepada presiden atau timbalan presiden MIC untuk bertanding, sekurang-kurangnya S Deva ini berani sahut cabaran berbanding dua ketuanya itu.

“Tapi sayang, bagi saya sebagai bekas Ahli Parlimen Pulai sejak 2004 lagi, saya nampak MIC seperti tak serius untuk terima tawaran saya. Semua orang tahu kerusi Pulai adalah kerusi yang ‘tough’ dan hanya calon-calon ‘heavyweight’ saja yang boleh menang dan bukannya calon ‘lightweight’.

“Bukan senang nak menang di Pulai,” tulisnya di Facebook.

Beliau yang memenangi kerusi Parlimen Pulai dari 2004 hingga 2013, tewas kepada Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dalam PRU14 pada Mei 2018.

Nur Jazlan berkata, beliau turut mempelawa presiden MCA menjadi calon Barisan Nasional di Pulai.

“Ya lah, saya juga kena hormati dan beri muka kepada MCA kerana di Pulai ada 40% pengundi Cina, sedangkan pengundi India hanya 12%.

“Jika MCA setuju beri laluan kepada MIC dan presiden atau timbalan presiden MIC sendiri sanggup jadi calon, saya sedia membantu. Saya rela berkorban demi kepentingan rakan-rakan dalam BN.”

Tetapi, katanya, MIC juga perlu berkorban menerusi “sistem barter” dengan membenarkan Umno bertanding di kerusi Parlimen Tapah, yang majoriti pengundinya ialah orang Melayu.

Saravanan ialah Ahli Parlimen Tapah.

“Barulah adil dan kena dengan semangat kekeluargaan dalam BN.

“Saya percaya jika calon Umno bertanding di kerusi Tapah, BN akan dapat kemenangan di Parlimen itu kerana pengundi Melayu sekarang ini ada keyakinan tinggi terhadap keupayaan dan ‘track record’ cemerlang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.