PH fokus pembahagian kerusi, belum bincang penyertaan Muda

PH fokus pembahagian kerusi, belum bincang penyertaan Muda

Menurut Fahmi Fadzil, Majlis Presiden PH beranggapan, parti yang ingin menyertai mereka perlu berpegang prinsip sama dan landasan sama.

Pengarah Komunikasi PH Fahmi Fadzil berkata, buat masa ini mereka sedang menyelesaikan isu pembahagian kerusi dan belum membuat sebarang perbincangan mengenai penyertaan MUDA.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) sedang memberi fokus rundingan kerusi dan penyertaan MUDA masih belum lagi dibincangkan oleh Majlis Presiden, kata Pengarah Komunikasinya Fahmi Fadzil.

Menurutnya, PH sedang menyelesaikan isu pembahagian kerusi, dengan menambah hasrat MUDA untuk bertanding tidak lebih 15 kerusi boleh dianggap sebagai ‘wish list’ atau impian mereka pada ketika ini.

“Kita tak adakan perbincangan lagi mengenai MUDA, kalau kita dah ada mesyuarat baru saya boleh jelaskan,” katanya kepada FMT.

Semalam, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, parti itu sudah menyampaikan hasrat untuk menyertai PH, serta menyasarkan untuk bertanding di 15 kerusi termasuk Parlimen Muar yang kini disandangnya.

Menurut Fahmi, Majlis Presiden PH beranggapan, parti yang ingin menyertai mereka perlu berpegang prinsip sama dan landasan sama.

“Sekiranya perkara seperti itu menjadi asas dan pertimbangan seterusnya boleh dilihat, jadi saya bersikap neutral kerana saya sendiri belum mengadakan perbincangan dengan Syed Saddiq,” katanya kepada FMT.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, dia hanya tahu hasrat MUDA menerusi media dan segala keputusan mengenainya perlu dibincangkan dalam Majlis Presiden PH.

Sementara itu, Adun DAP Ronnie Liew berkata, PH perlu meneliti dengan lebih mendalam sebelum membuat keputusan menerima MUDA sebagai rakan komponen.

“Jangan senang-senang tolak dan jangan senang-senang terima sebab nak jadi rakan komponen kepada PH kena ikut kesefahaman sedia ada, jadi PH kena faham. Kita ada peraturan tertentu, syarat-syarat tertentu yang kena ikut. Kena tahu itu,” katanya yang juga Adun Sungai Pelek.

Berkaitan hasrat MUDA untuk bertanding, Liew berkata, PH harus memutuskan kerusi yang dimenangi oleh wakil rakyat gabungan itu sebelum ini juga perlu dikekalkan pada PRU15.

“Kerusi ditinggalkan Bersatu elok dibincangkan untuk MUDA,” katanya.

Manakala Ahli Majlis Mesyuarat Presiden, Khalid Samad pula berkata, partinya menyambut baik hasrat MUDA untuk menjadi sebahagian rakan komponen kerana ia mampu membantu pembangkang menghadapi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Kalau ada penambahan dari segi undi, ramai yang iktiraf Syed Saddiq dan MUDA berperanan dalam mendapatkan kelulusan undi 18 maka mereka undi kita, kita dapat manfaat kebersamaan. Kena lihat banyak segi, Amanah pendirian kita begitu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.