
Dr Reza Singam, yang bertugas di Zoo Negara pada awal 2000-an, berkata walaupun zoo penting untuk tujuan pendidikan, hiburan dan pemuliharaan, negara tidak perlu sebuah lagi zoo.
“Kita tidak perlu mencairkan sumber kita, hanya tumpukan pada penambahbaikan zoo sedia ada, fokus kepada spesies tempatan,” katanya kepada FMT.
Doktor haiwan itu juga berkata, penguatkuasaan peraturan mengenai penjagaan zoo dan kebajikan haiwan masih lemah.
Sebagai contoh, katanya, banyak haiwan lebihan disimpan dalam ruang terkurung di belakang zoo, kurang peluang untuk dipamerkan kepada pengunjung.
Reza berkata demikian sebagai respons kepada surat Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader yang menyuarakan kebimbangan mengenai projek zoo baharu di Johor.
Mohideen berkata, Malaysia perlu berhenti membina lebih banyak zoo dan sebaliknya memberi tumpuan kepada penambahbaikan zoo sub-standard bagi memastikan ia memenuhi standard dalam penempatan, penternakan, kebajikan dan kesihatan semua haiwan.
Menurut seorang pegawai kerajaan negeri, kerajaan Johor juga akan mengekalkan zoo sedia ada di Jalan Gertak Merah, Johor Bahru, yang telah beroperasi sejak 1928. Zoo tersebut sedang dinaik taraf, katanya.
Pencinta alam sekitar Andrew Sebastian, yang memperakui kebimbangan CAP, berkata zoo hanya perlu menjadi benteng terakhir untuk mempamerkan hidupan liar kerana Malaysia sudah mempunyai banyak hutan simpan, kawasan perlindungan dan tempat eko-pelancongan.
Katanya kepada FMT, dua zoo utama sedia ada – Zoo Negara dan Zoo Taiping – sudah cukup untuk mempamerkan hidupan liar.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ekopelancongan & Pemuliharaan Malaysia (Ecomy) berkata, sumber sebaliknya harus disalurkan ke arah inisiatif pemuliharaan yang berkesan seperti program tangkap dan lepas.
Bekas pengarah veterinar Zoo Taiping Dr Kevin Lazarus berkata, zoo sedia ada sudah mencapai standard minimum yang ditetapkan dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar pada 2010.
Lazarus, yang juga pengerusi Persatuan Taman Zoologi dan Akuaria Malaysia (Mazpa) berkata, standard ini meliputi perkara seperti saiz minimum untuk pameran hidupan liar, sangkar pegangan serta pemakanan dan pengayaan haiwan.
Sebagai contoh, harimau perlu disimpan dalam kandang seluas sekurang-kurangnya 500m persegi dan sangkar pegangannya mestilah sekurang-kurangnya seluas 5m x 4m. Peraturan ini telah dikuatkuasakan oleh jabatan hidupan liar dengan kerjasama Mazpa.
Beliau berkata, tindakan membuka zoo mesti disertai tanggungjawab untuk menjaga hidupan liar dengan betul, bukan hanya “demi keuntungan”.