Semak semula kerusi Parlimen Sabah, Sarawak tindakan wajar, kata GPS

Semak semula kerusi Parlimen Sabah, Sarawak tindakan wajar, kata GPS

Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi berkata langkah itu wajar kerana ia memainkan peranan penting dalam semangat kesamarataan bawah Persekutuan Malaysia.

Alexander Nanta Linggi berkata menerusi penambahan wakil, kedua-dua negeri itu akan mempunyai suara lebih lantang di Parlimen. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Komitmen kerajaan persekutuan menyemak semula jumlah wakil Sabah dan Sarawak dalam Parlimen adalah langkah signifikan kerana ia memainkan peranan penting dalam semangat kesamarataan bawah Persekutuan Malaysia.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Alexander Nanta Linggi, berkata selain itu ia turut selari dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, menerusi penambahan wakil, kedua-dua negeri itu juga akan mempunyai suara lebih lantang di Parlimen, terutama dalam usaha meminda Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan majoriti dua per tiga.

“Ini penting supaya jika terdapat cubaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan yang memberi kesan kepada Sabah dan Sarawak, Semenanjung Malaysia tidak boleh melakukannya sendiri.

“Ketika ini, Sabah dan Sarawak tidak mempunyai suara lebih daripada satu per tiga. Oleh sebab itu apa-apa yang memerlukan dua per tiga untuk menggubal perlembagaan boleh dilakukan oleh Semenanjung Malaysia. Ini bukan tentang bersaing dengan Semenanjung tetapi untuk mengekalkan konsep semak dan imbang,” katanya menurut Bernama.

Beliau yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Libat Urus Pemegang Taruh Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) – Jalan Akses ke Tunoh, dekat Kapit, Sarawak.

Hari ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau memberi komitmen kerajaan untuk memberi perhatian terhadap isu berbangkit di Sabah dan Sarawak, termasuk berkaitan jumlah wakil dua negeri itu di Parlimen.

Beliau berkata, ia antara isu dibangkitkan pada Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) dipengerusikannya semalam.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Maximus Ongkili yang turut hadir pada mesyuarat berkenaan dilapor berkata mesyuarat itu mengendors langkah mendapatkan semula 35% daripada 222 kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.

Langkah itu bakal membolehkan Sabah dan Sarawak memiliki 78 daripada 222 kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.