Najib sedang dirawat di Hospital Rehabilitasi Cheras

Najib sedang dirawat di Hospital Rehabilitasi Cheras

Bekas perdana menteri itu dihantar ke Hospital Rehabilitasi Cheras sejak Isnin lalu.

Jabatan Penjara berkata, Najib Razak akan dihantar semula ke Penjara Kajang sebaik saja pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan kepada bekas perdana menteri itu.
PETALING JAYA:
Jabatan Penjara memaklumkan Najib Razak dihantar ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) untuk rawatan dan pemantauan lanjut sejak Isnin lalu berdasarkan rujukan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik saja pihak pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau,” katanya dalam kenyataan.

Jabatan itu turut menjelaskan selaras dengan Akta Penjara, pihaknya bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan seseorang banduan sentiasa dipantau dan dijaga.

Katanya, ini termasuk penyediaan kemudahan rawatan dan ubat-ubatan sebagaimana disyorkan oleh pegawai perubatan kerajaan.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli membangkitkan isu berkait lokasi Najib ketika ini yang didakwanya seakan mendapat akses ke dunia luar.

Sejak beberapa hari lalu tular dakwaan layanan istimewa diberikan terhadap Najib – yang dirujuk dengan nama kod merpati – di media sosial.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.