Muhyiddin akan jumpa Hadi minta penjelasan susulan pertemuan dengan Zahid

Muhyiddin akan jumpa Hadi minta penjelasan susulan pertemuan dengan Zahid

Pengerusi PN itu, berkata pertemuan dengan Abdul Hadi Awang itu juga bagi membincangkan kedudukan Perikatan Nasional (PN) susulan kenyataan PAS yang cenderung mahu bekerjasama dengan Umno.

Muhyiddin Yassin akan bertemu Abdul Hadi Awang meminta penjelasan susulan pertemuan presiden PAS itu dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
PUTRAJAYA:
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata akan membuat pertemuan dengan Abdul Hadi Awang minggu depan bagi mendapatkan pengesahan dakwaan presiden PAS itu bertemu dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi Selasa lalu.

Beliau berkata selain mendapat pengesahan itu, pertemuan dengan Hadi itu juga bagi membincangkan kedudukan Perikatan Nasional (PN) susulan kenyataan PAS yang cenderung mahu bekerjasama dengan Umno.

“Saya ada baca kenyataan itu (Hadi jumpa Zahid). Saya juga ingin tahu apa yang berlaku dalam pertemuan itu.

“Saya akan jumpa Hadi dalam Isnin atau Selasa,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Ulang Tahun Bersatu ke-6.

Tambah Muhyiddin, beliau juga mahu mendapatkan pencerahan mengenai hasil perjanjian yang telah dibuat antara Umno dan PAS.

“Kita akan bincang banyak isu yang penting,” katanya.

Semalam, memetik laporan Utusan Malaysia, Hadi dilaporkan telah membuat satu pertemuan dengan Zahid pada Selasa.

Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin berkata, Muafakat Nasional (MN) mempunyai pe­luang cerah untuk dihidupkan semula.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, PAS kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan Umno sebagai rakan ta’awun, sekali gus tidak bersetuju sama sekali dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan BN sebagai musuh pada PRU15.

Hari ini, Muhyiddin menegaskan kepada PN bahawa musuh utama mereka adalah BN pada PRU15.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata beliau tidak akan mencabar Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan tarikh sebenar PRU15.

Beliau berkata terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya.

“Kita masih boleh menunggu masa sesuai untuk diadakan PRU15,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.