Pembangkang tiada isu besar untuk jatuhkan kerajaan, kata Puad

Pembangkang tiada isu besar untuk jatuhkan kerajaan, kata Puad

Ahli MKT Umno itu berkata, rakyat sudah bijak dan tidak akan diperdaya buat kali kedua dengan taktik pembangkang.

Puad Zarkashi berkata, PH bermain dengan persepsi negatif yang menyelubungi skandal 1MDB untuk memenangi PRU14. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pembangkang mahu menangguhkan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kerana tiada isu besar yang boleh digunakan terhadap kerajaan semasa, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) bergantung kepada taktik seperti itu pada PRU14, dengan bermain persepsi negatif yang menyelubungi skandal 1MDB.

“Bagaimanapun, rakyat sudah bijak dan tidak akan diperdaya untuk kali kedua.

“Mereka (pembangkang) masih tiada isu yang cukup kuat untuk menumbangkan kerajaan,” katanya dalam wawancara dengan Hello Malaysia malam tadi.

Puad berkata, PH cuba menggunakan projek kapal tempur pesisir (LCS) yang bermasalah sebagai bukti kegagalan kerajaan semasa, tetapi tidak berjaya.

“Mereka gagal mengeksploitasi isu LCS seperti yang mereka lakukan dengan 1MDB,” katanya.

Bulan lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kontroversi dalam perolehan enam kapal tempur tentera laut itu mungkin menyebabkan PRU15 ditangguhkan.

Penangguhan itu akan menghalang pembangkang menjadikan isu itu sebagai senjata politik seperti yang dilakukan PH dengan skandal 1MDB pada 2018. PH menumbangkan kerajaan BN pada PRU14.

PRU15 perlu diadakan selewat-lewatnya September tahun depan, tetapi beberapa pemimpin Umno mendesak ia diadakan tahun ini, susulan kemenangan meyakinkan BN dalam beberapa pilihan raya negeri sebelum ini.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini menolak alasan pembangkang mengenai inflasi dan risiko banjir sebagai alasan untuk menangguhkan PRU15.

Katanya, alasan itu lemah dan pembangkang mahu mendapatkan lebih banyak masa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.