
Shahril berkata, siasatan akan tetap dijalankan ke atas bekas peguam negara itu tanpa mengira latar belakangnya.
Ia susulan dakwaan Rafizi yang sebelum ini mendakwa Pemuda Umno menggunakan isu itu sebagai modal meraih sokongan orang Melayu.
“Kalau nama dia Taufik, Talib, Tahir dan dia tulis buku sama, pun patut disiasat.
“Jadi apa salahnya apabila Umno bangkitkan perkembangan mengenai siasatan pasukan petugas terhadap Tommy Thomas?
“Adakah Rafizi merasakan bahawa integriti dan ketelusan dituntut hanya apabila Barisan Nasional terlibat?,” katanya.
Beliau yang juga naib ketua Pemuda Umno berkata dakwaan yang terkandung dalam buku tulisan Thomas menimbulkan persoalan melibatkan integriti dan ketelusan beliau sebagai peguam negara ketika itu.
Shahril turut mengingatkan Rafizi tentang tiga perkara berbangkit yang terkandung dalam buku tulisan Thomas, iaitu memberikan bayangan bahawa bekas perdana menteri Abdul Razak Hussein sebagai dalang peristiwa 13 Mei 1969, pengaruh Thomas dalam lantikan semua hakim Mahkamah Persekutuan serta punca kematian Allahyarham Muhammad Adib disebabkan oleh kenderaan bomba.
Sejajar dengan itu, Shahril mendakwa Thomas lebih layak untuk dituduh memainkan sentimen perkauman disebabkan oleh dakwaan-dakwaannya yang terkandung dalam buku berkenaan.
Semalam, Rafizi berkata, Pemuda Umno cuba membakar api perkauman berhubung siasatan ke atas memoir Thomas bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”.
Beliau mendakwa tindakan itu tidak berguna kerana rakyat Malaysia, khasnya pengundi Melayu, yang lebih bimbangkan kehidupan mereka berbanding kandungan buku itu.
Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi mendesak Rafizi supaya menyokong siasatan pihak berkuasa ke atas Thomas, jika beliau menyokong kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman.
Beliau turut menafikan cuba bersikap rasis dalam siasatan ke atas buku Thomas demi meraih sokongan orang Melayu dan mendakwa Rafizi tidak mengambil berat kebebasan badan kehakiman.