PM tak hadap Agong hari ini, kata Istana Negara

PM tak hadap Agong hari ini, kata Istana Negara

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Yang di-Pertuan Agong berada di Singapura.

Blogger Zaharin Yasin dipetik Sinar Harian sebagai berkata, Ismail Sabri Yaakob akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.
KUALA LUMPUR:
Istana Negara menafikan laporan mendakwa Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini untuk memohon pembubaran Parlimen.

“(Ia) berita palsu. Tuanku masih di Singapura,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin kepada FMT menerusi mesej WhatsApp.

Sementara itu, sumber rapat dengan Ismail berkata, jadual perdana menteri “padat dengan mesyuarat” hari ini.

Sumber itu memberitahu FMT, Ismail tidak mempunyai mesyuarat yang dijadualkan di Istana Negara untuk beberapa hari akan datang.

Terdahulu, Sinar Harian memetik blogger Zaharin Yasin melaporkan Ismail akan menghadap Agong hari ini.

Menurut laporan itu, Ismail akan ditemani Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan yang mewakili Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Maslan ketika dihubungi turut menolak laporan itu dengan berkata: “Siapa cakap? Zaharin? Bukankah dia sudah dipecat?” soalnya.

Jumaat lalu, Ahmad dilaporkan berkata, Majlis Kerja Tertinggi Umno bersetuju Parlimen harus dibubarkan “dalam masa terdekat” untuk pilihan raya tahun ini.

Katanya, Ismail akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Agong.

Penggal Parlimen semasa akan tamat Julai 2023 dan PRU15 perlu diadakan selewat-lewatnya pertengahan September 2023.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin Umno mendesak Ismail, yang juga naib presiden parti, supaya mengadakan PRU awal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.