
Beliau berkata, hasil bumi bernilai berbilion ringgit itu berjaya diselamatkan hasil penggunaan teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan sistem pemantauan hutan menggunakan penderiaan jauh (FMRS) oleh Jabatan Perhutanan.
Katanya, beberapa warga asing dipercayai terbabit dalam aktiviti perlombongan haram berkenaan ditahan susulan operasi itu.
“Berdasarkan kepada bantuan GIS dan FRMS, kerajaan Kedah melalui Jabatan Perhutanan mengesan (aktiviti) perlombongan haram NR-REE ini telah dibuat. Ditunjukkan di sini di mana imej yang jelas, saya kata tadi tidak sepenuhnya tetapi ada yang berjaya.
“Dengan imej ini, jabatan (Perhutanan) pergi ke tempat itu dan menahan warga asing yang telah beroperasi beberapa lama, yang mana jika dibiarkan akan melibatkan kecurian berbilion ringgit bahanNR-REE ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Wong Tack (PH-Bentong) bagaimana aktiviti pembalakan dan perlombongan masih boleh berlaku walaupun terdapatnya teknologi seperti sistem GIS.
Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata penggunaan teknologi berkenaan tidak dapat mengesan aktiviti haram sepenuhnya kerana dihalang oleh permukaan hutan yang tebal yang tidak dapat ditembusi oleh satelit.
“Ditunjukkan di sini di mana imej yang jelas, saya kata tadi tidak sepenuhnya tetapi ada yang berjaya. Ada imej tak dapat dikesan mungkin diliputi oleh pokok yang tebal. Jadi imej tidak dapat,” jelasnya.