
Hishammuddin yang juga menteri kanan pertahanan berkata pimpinan parti dan pemimpin-pemimpin parti dalam kerajaan perlu merapatkan barisan saf serta menjaga kawasan masing-masing bagi mengukuhkan kedudukan parti di peringkat akar umbi.
“Siapa sahaja yang bakal dicalonkan oleh parti nanti, mereka perlu bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan demonstrasi keupayaan kesiagaan Pasukan Khas Pertahanan di Lapang Sasar Menembak Praktikal, Kem Sungai Besi.
Hishammuddin turut memberi bayangan akan kekal bertanding dan mempertahankan kerusi di Parlimen Sembrong yang dimenanginya sejak 2004.
“Insya-Allah saya akan bertanding di Sembrong, dan bagi kepimpinan Kementerian Pertahanan serta Angkatan Tentera Malaysia, seandainya Parlimen dibubarkan pada esok pun kita sudah bersedia,” katanya.
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan baru-baru ini memaklumkan Majlis Kerja Tertinggi Umno mahukan supaya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini dan Ismail Sabri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.