Polis keluar 16,163 saman langgar lampu isyarat

Polis keluar 16,163 saman langgar lampu isyarat

Angka itu direkodkan dalam operasi khas dijalankan pada 15 hingga 30 Sept lalu.

Saman paling banyak dikeluarkan melibatkan motosikal iaitu 8,211 diikuti kereta (6,083), lori (528), van (264), bas (22) dan 1,055 saman untuk lain-lain kenderaan.
KUALA LUMPUR:
Polis mengeluarkan 16,163 saman pada operasi khas lampu isyarat dalam tempoh 15 hari operasi di seluruh negara bermula 15 hingga 30 Sept lalu.

Setiausaha Polis, Noorsiah Saaduddin, berkata itu tersebut menumpukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah dengan saman paling banyak dikeluarkan melibatkan motosikal iaitu 8,211 saman diikuti kereta (6,083), lori (528), van (264), bas (22) dan 1,055 saman untuk lain-lain kenderaan.

Beliau berkata, polis turut mengeluarkan 24,276 saman melibatkan lain-lain kesalahan lalu lintas dengan 71,069 kenderaan diperiksa.

“Seramai 27 individu ditahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan memiliki waran tangkap saman trafik dalam operasi itu.

“Polis memandang serius sikap dan trend pengguna jalan raya yang mewujudkan risiko kemalangan ekoran tidak memberhentikan kenderaan di lampu isyarat.

“Orang ramai dinasihat supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi isyarat lalu lintas yang telah ditetapkan bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan di 1,659 lokasi seluruh negara melibatkan 1,541 anggota.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.