
Peguam M Ramachelvam yang mewakili Amanullah Kamalia, 40-an, memberitahu FMT bahawa keputusan Hakim Shahnaz Sulaiman itu dibacakan oleh Timbalan Pendaftar Namirah Hanum Mohd Albaki menerusi Zoom pada 2 petang tadi.
“Mahkamah memutuskan bahawa pemohon, sebagai bapa lima individu yang akan diusir itu, adalah seseorang yang akan terkesan secara teruk akibat keputusan berkenaan, seterusnya mempunyai locus standi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman,” katanya.
Ramachelvam yang mempengerusikan jawatankuasa Badan Peguam bagi migran, pelarian dan imigresen berkata, beliau akan membuat permohonan semakan kehakiman itu dalam tempoh 14 hari.
Ketika membenarkan permohonan itu, Mahkamah Tinggi turut menolak hujah Pejabat Peguam Negara bahawa fasal penyingkiran dalam Seksyen 59A Akta Imigresen menghalang pemohon daripada mencabar keputusan berkenaan.
Menurut Ramachelvam, isteri lelaki itu, Khatijah Rashir Ahmad, 35, dan lima anak mereka berusia tujuh hingga 18 tahun, ditahan pihak berkuasa ketika memasuki perairan Malaysia pada 6 Jan 2021.
Mereka sebelum itu telah pergi ke Bangladesh dari Myanmar, sebelum menuju ke Indonesia. Dari situ mereka meneruskan perjalanan ke Malaysia menerusi laluan laut untuk bersatu dengan Amanalullah yang telah berada di negara ini sejak 2013.
Pada September 2021, Jabatan Imigresen memaklumkan Ramachelvam bahawa perintah telah dikeluarkan untuk mengusir Khatijah dan lima anak mereka ke Myanmar. Khatijah meninggal dunia pada 22 Julai lalu selepas jatuh sakit ketika dalam tahanan.
Ramachelvam berkata, sebagai pemohon suaka, kanak-kanak berkenaan patut dibenarkan akses kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Di bawah Konvensyen Hak Kanak-kanak, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk tidak menahan kanak-kanak berkenaan. Mereka patut dibenarkan akses kepada UNHCR untuk menentukan status mereka,” katanya.
Tambahnya, mengusir kanak-kanak berkenaan juga melanggar undang-undang antarabangsa memandangkan nyawa mereka terancam di Myanmar.
Kanak-kanak berkenaan kini ditahan di pusat penahanan.