Nyaris ‘dijual’ sindiket, orang Laos korek terowong tolong rakyat Malaysia lari

Nyaris ‘dijual’ sindiket, orang Laos korek terowong tolong rakyat Malaysia lari

Mangsa sindiket tawaran kerja berkata hanya empat daripada lapan rakyat Malaysia berjaya dibawa lari melalui terowong yang dikorek oleh penduduk tempatan.

Salah seorang mangsa sindiket penipuan pekerjaan yang dijadikan scammer di Laos menceritakan pengalaman pahit mereka sepanjang dikurung di sebuah bangunan.
SEPANG:
Berdepan antara hidup dan mati, dalam sebuah bangunan dikawal sindiket, lapan rakyat Malaysia di Laos berpakat siapa dalam kalangan mereka yang patut melepaskan diri, dengan harapan rayuan mereka yang terselamat akan menggerakkan lagi banyak usaha menyelamat.

Selesai berbincang, tanpa tahu nasib menanti mereka yang ditinggalkan, empat orang terpilih untuk melarikan diri menerusi sebuah terowong yang dikorek penduduk tempatan.

Keputusan yang sukar harus dan telah dibuat, kerana dalam dua hari lagi, mereka ini akan dijual ke Myanmar umpama ternakan. Khoo (bukan nama sebenar), 34, salah seorang yang terpilih untuk melarikan diri daripada sindiket penipuan tawaran kerja itu.

Dia masih ingat amaran keras daripada sindiket akan nasib mereka yang gagal melepaskan diri daripada kerja menipu duit orang lain itu.

“Seorang rakyat China dipukul depan mata kami berempat. Kaki patah, tangan patah, kepala koyak. Dia cakap kalau kami cuba lari, nasib kami akan sama macam ini.”

Tidak dapat dipastikan bagaimana orang tempatan itu dapat tahu tentang nasib mereka, namun sebuah kereta menanti rakyat kita di luar terowong.

“Dia korek terowong itu, kasi kita masuk, bawa keluar cepat-cepat ke dalam kereta yang menunggu,” ceritanya.

Danny (bukan nama sebenar) mendakap erat anak lelaki berusia lingkungan 3 tahun dan isteri selepas mereka terpisah hampir lapan bulan.

Seorang lagi mangsa terselamat, Danny (bukan nama sebenar), 35, tekad akan lawan sekiranya cubaan gagal. Danny hanya boleh terima dua pengakhiran – peluk anak isterinya di Malaysia atau mati melawan di Laos.

“Tak lari pun tetap mati. Jadi kita lawan sahaja lah. Mati sekali (dengan penyangak). Tidak apa, cuma mati sahaja,” katanya.

Lee (bukan nama sebenar), 28, yang hampir dijual sindiket ke Myanmar berjaya melarikan diri dengan bantuan beberapa penduduk di Laos.

Lee (bukan nama sebenar), 28, bukan salah seorang daripada terpilih hari itu. Badannya yang besar menyebabkan dia tidak muat melalui terowong itu.

Beliau enggan menyerah dan merencana cubaan tersendiri apabila dia dimasukkan ke hospital atas alasan sakit. Dengan bantuan penduduk tempatan yang sama, dia berjaya melarikan diri malah hampir dicekau samseng yang mengawalnya.

“Ini satu-satunya peluang saya untuk lari. Kalau tidak dapat lari, saya pasti mati. Saya badan paling besar dalam kumpulan (lapan orang rakyat Malaysia itu). Mereka pun tak percaya saya dapat lari.

“Memang nasib saya bagus,” katanya.

Lima mangsa pemerdagangan manusia yang dijadikan scammer di Laos di KLIA malam selasa disambut oleh pihak NGO, media dan keluarga.

Kepulangan mereka di KLIA pada Selasa disambut keluarga yang menanti selepas lapan bulan mereka diculik sindiket. Tidak ada kata-kata yang mampu menggambarkan perasaan Danny dengan sempurna, dengan anaknya dalam dakapan.

“Nampak anak isteri, semua ahli keluarga saya, saya betul-betul gembira. Kalau tiada orang tolong kami, kami mungkin sudah mati di sana.”

Bapa kepada dua orang mangsa, Tham,62, tidak dapat menyembunyikan kegembiraan melihat dua anak lelaki berjaya diselamatkan.

Keluarga mereka ketika ditemui amat berterima kasih kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), kerajaan, dan pihak berkuasa Laos yang berusaha membawa anak-anak mereka pulang.

“Saya tidak boleh cakap sekarang, tapi hati saya seronok anak saya sudah balik. Terima kasih!” kata seorang bapa mangsa, Tham, 62.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.