Subsidi telur naik 8 sen

Subsidi telur naik 8 sen

Jemaah Menteri juga bersetuju tidak menaikkan atau mengapung harga telur ayam di pasaran bagi mengelak peningkatan kos sara hidup rakyat.

Annuar Musa berkata keputusan itu bermakna kerajaan perlu menanggung pertambahan subsidi telur ayam kepada lebih RM90 juta setiap bulan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menaikkan subsidi bagi telur ayam gred A, B dan C daripada 3 sen ketika ini kepada 8 sen, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Annuar Musa.

Beliau berkata, Jemaah Menteri juga bersetuju tidak menaikkan atau mengapung harga telur ayam di pasaran bagi mengelak peningkatan kos sara hidup rakyat.

“Kabinet mengambil kira kos pengeluaran yang meningkat dan harga kawalan menyebabkan pengeluar kerugian serta terpaksa mengurangkan pengeluaran, sekali gus menyebabkan bekalan berkurangan.

“Bagi mengatasi masalah ini, Kabinet bersetuju menerima syor Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Jawatankuasa Jihad Inflasi supaya subsidi (telur ayam) sebanyak 3 sen pada masa ini dinaikkan kepada 8 sen,” katanya di Facebook.

Beliau berkata, keputusan itu bermakna kerajaan perlu menanggung pertambahan subsidi telur ayam kepada lebih RM90 juta setiap bulan.

Semalam, Annuar dilaporkan berkata, cadangan menaikkan subsidi telur ayam gred kawalan akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri susulan kekurangan bekalan telur bersubsidi di pasaran.

Katanya, tinjauan kerajaan mendapati pengeluar dan pengedar mendakwa subsidi 3 sen bagi telur gred kawalan A, B dan C tidak mencukupi kerana kos ditanggung adalah lebih tinggi.

Pada 29 Jun lalu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee, mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju menetapkan harga siling runcit telur ayam pada kadar 45 sen sebiji bagi gred A, Gred B (43 sen) dan gred C (41 sen).

Selain ketetapan mengenai telur ayam, Annuar memaklumkan mesyuarat Kabinet turut bersetuju supaya dasar subsidi ayam bulat sedia ada diteruskan, ditetapkan pada kadar RM9.40 sekilogram.

Beliau yang juga menteri komunikasi dan multimedia berkata, mesyuarat hari ini juga bersetuju meningkatkan bekalan minyak masak bersubsidi 1kg dengan kuota tambahan sebanyak 5,000 tan sebulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.