
Di Baling, sejumlah 154 mangsa membabitkan 49 keluarga kini berada PPS Kompleks Rakan Muda Batu 42 kerana tidak dibenarkan pulang memandangkan cuaca mendung dan keadaan rumah tidak selamat.
“Mangsa dari Kampung Carok Sikin, Paya dan Tanjung Merbau mula berpindah ke PPS itu, pada petang semalam dan malam tadi.
“Kita bimbang kerana hujan masih berlaku dan mereka terpaksa berpindah semula, jadi untuk sementara mereka perlu tinggal di PPS sehingga keadaan selamat,” kata Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling Mohd Faizol Ab Aziz, memetik laporan Harian Metro.
Dalam pada itu, seramai 43 mangsa banjir daripada 13 keluarga dipindahkan di daerah Penampang, manakala banjir di Kota Kinabalu dan Tuaran semakin pulih setakat 8 pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, semua mangsa banjir itu dipindahkan ke PPS Dewan Kebudayaan Penampang yang dibuka pada 7.07 malam, semalam.
“Bencana banjir akibat hujan lebat berterusan sejak petang semalam, dan pagi ini, trend semasa banjir masih kekal.
“Paras air Sungai Moyoq (di Penampang) hingga 6 pagi tadi menunjukkan penurunan dan dalam keadaan terkawal. Pemantauan diteruskan sehingga kini,” lapor Bernama.
Sekretariat turut memaklumkan hasil pemantauan di empat lokasi utama banjir di Kota Kinabalu iaitu Kampung Rampaian, Kampung Keliangau, Kampung Tebobon dan Jalan Sepanggar-Kampung Tebobon, didapati telah pulih sepenuhnya pagi ini.
Tinjauan Bernama di Telipok, Rugading dan Gayang yang dilanda banjir di Tuaran semalam juga mendapati situasi banjir semakin pulih.
Cuaca mendung pada pagi ini di Kota Kinabalu dan kawasan pantai barat Sabah, manakala Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca hujan di beberapa lokasi pada sebelah petang dan tiada hujan di sebelah malam di kawasan terlibat.