Ahmad Idham dilantik ketua penerangan GTA N Sembilan

Ahmad Idham dilantik ketua penerangan GTA N Sembilan

Pelantikan bekas pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkuatkuasa semalam.

Ahmad Idham meninggalkan Bersatu pada Julai lalu dan menubuhkan hab pendidikan khas melalui NGO sebelum menyertai GTA. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pelakon dan pengarah Ahmad Idham Ahmad Nadzri dilantik sebagai Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan berkuatkuasa semalam.

Pelantikan Ahmad Idham yang juga bekas pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) diumumkan dalam mesyuarat gabungan berkenaan yang diadakan di negeri tersebut.

“Saya dimaklumkan apabila kerja hab pendidikan khas yang telah saya asaskan dan gerakan di Port Dickson melalui pertubuhan briged prihatin memberi impak di mata masyarakat.

“Ia juga menjadi antara faktor dinilai oleh kepimpinan tertinggi GTA di Negeri Sembilan sebelum membuat keputusan untuk mengumumkan pelantikan ini,” katanya menurut Sinar Harian.

Kata Ahmad Idham lagi, pelantikan itu bukan untuk dibanggakan sebaliknya jawatan diberikan merupakan amanah dan tanggungjawab yang harus digalas sebaiknya.

“Melalui pelantikan ini, ia memberi gambaran jelas bahawa GTA bukan sekadar gabungan antara parti politik sebaliknya turut menggabungkan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan profesional dan individu.

“Buktinya, saya selaku pengerusi pertubuhan briged prihatin telah dilantik tanpa perlu menyertai mana-mana parti politik,” katanya,

Ogos lalu, GTA ditubuhkan menerusi gabungan empat parti dan NGO yang terdiri Pejuang, Berjasa, Putra dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Ahmad Idham menyertai Bersatu pada April tahun ini, namun selepas tiga bulan, dia menghantar surat memaklumkan keluar Bersatu kepada Setiausaha Agung Hamzah Zainudin di ibu pejabat parti berkenaan di Menara Yayasan Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.