
Katanya, Umno dan BN sudah menetapkan pendirian jelas bahawa jika pun kerjasama antara dua parti itu mahu dibentuk dalam PRU, ia mesti bersifat menyeluruh.
“Kita hormati keputusan yang dicapai oleh jawatankuasa pusat parti mereka. Terserah kepada mereka bagaimana mereka mahu bergerak (dalam PRU).
“Tapi kalau mahu bekerjasama, biarlah bekerjasama ‘totally’ (secara menyeluruh), bukan kerana merundingkan kononnya ada kerusi bagi mengelak (pertembungan) tiga penjuru.
“Kami fikir itu adalah taktikal dan muslihat yang dilakukan,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-76 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di Kuala Lumpur.
Pada 2 Okt, Zahid mengemukakan tiga tuntutan kepada PAS sekiranya mahu kembali bekerjasama iaitu keluar Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi bahawa parti itu “mufarakah” (berpisah) 100% daripada PN dan Bersatu.
Bagaimanapun, pada 8 Okt, bagi menjawab tuntutan Zahid itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, berkata partinya memutuskan untuk meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan “komitmen” bersama Umno dan Bersatu bagi menghadapi PRU15.
Katanya, pihaknya berpandangan perlu ada “keanjalan” dalam rundingan antara ketiga-tiga parti.
“Termasuklah berkenaan syarat-syarat yang dikemukakan dan rundingan kerusi yang sedang diusahakan,” katanya dalam kenyataan media rasmi dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.