PAS akan ‘all out’ PRU15, Bersatu bidas Ismail ‘lemah’ bubar Parlimen

PAS akan ‘all out’ PRU15, Bersatu bidas Ismail ‘lemah’ bubar Parlimen

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pihaknya bersedia menghadapi pilihan raya umum dan jentera parti diingatkan setahun lalu kemungkinan Parlimen bubar pada Oktober.

PAS berkata pihaknya dan PN akan mengerah seluruh kekuatan bagi menghadapi PRU15 manakala Bersatu membidas tindakan perdana menteri membubarkan Parlimen.
PETALING JAYA:
PAS bersama rakan dalam Perikatan Nasional (PN) akan mengerah seluruh kekuatan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pihaknya bersedia menghadapi pilihan raya umum dan jentera parti telah diingatkan setahun lalu bahawa kemungkinan Parlimen bubar pada Oktober.

“Ternyata ia benar. PAS bersama rakan PN akan ‘all out’ bagi memastikan kejayaan dalam PRU yang penuh cabaran kali ini,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, pengalaman PAS berada dalam kerajaan sebahagian taruhan bagi penilaian rakyat.

Katanya, ini bagi meyakini bahawa PAS mampu melaksanakan tanggungjawab bila diberi amanah.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Razali Idris membidas tindakan Ismail membubarkan Parlimen hari ini berikutan jangkaan banjir akan melanda bulan depan.

Beliau berkata, Ismail terlalu lemah apabila ditekan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi supaya PRU15 dipercepatkan.

“Saya tidak nampak kemampuan beliau untuk mengurus satu perkara agak penting di mana negara berdepan situasi banjir.

“Jadi apa yang diperkatakan selama ini wayang sahaja,” katanya.

Razali juga membidas tindakan Ismail yang membentangkan Bajet 2023 pada Jumaat lalu yang disifatkan sebagai manifesto PRU15.

“Saya juga rasa terkilan strategi beliau bentang Bajet 2023 yang sekadar pembentangan sahaja. Perdana menteri sendiri ambil pendekatan menipu rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Gerakan, Dominic Lau sudah menjangkakan pembubaran Parlimen akan dibuat awal.

Beliau berkata, Gerakan dan PN sudah bersiap sedia hadapi PRU15 dengan pembahagian kerusi gabungan itu dalam peringkat akhir.

“Sekarang dalam rundingan akhir. Jika boleh selesai di peringkat negeri, pembahagian kerusi PN akan selesai. Keputusan akan dibuat di peringkat tertinggi PN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.