RUU kesatuan sekerja: MTUC terus jadi ‘mata-mata’

RUU kesatuan sekerja: MTUC terus jadi ‘mata-mata’

Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022 memberi kebebasan berpersatuan kepada pekerja dan majikan menubuh atau menyertai mana-mana kesatuan sekerja pilihan.

Pindaan RUU yang diluluskan, baru-baru ini, mewujudkan suasana gerakan kesatuan sekerja lebih progresif dan matang, kata Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Effendy Abdul Gani.
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan terus menjadi ‘mata-mata’ bagi kumpulan pekerja agar Rang Undang-Undang (RUU) Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022 yang diluluskan, baru-baru ini, dapat dilaksanakan dengan baik.

Presidennya, Mohd Effendy Abdul Gani, berkata MTUC turut berharap pindaan melibatkan 35 fasal merangkumi 29 fasal pindaan, lima fasal baharu dan satu fasal dimansuhkan itu, menyumbang kepada kedudukan lebih baik dari segi penubuhan kesatuan bebas di tempat kerja.

“Kami akan terus berusaha dalam memberikan perhatian dan pemantauan serius apabila pindaan dilaksanakan nanti. Semoga usaha pindaan akta tersebut dapat mewujudkan kesatuan yang bebas serta menyumbang kepada pemeliharaan perhubungan industri yang harmoni di tempat kerja.

“Dan yang paling penting, pengiktirafan kesatuan sekerja dapat juga dipermudahkan lagi,” katanya kepada FMT.

Effendy menegaskan, sama ada pelaksanaan undang-undang itu memberi kesan positif atau pun negatif bergantung kepada tadbir urus kesatuan masing-masing.

“Pindaan ini secara langsung dapat mewujudkan suasana gerakan kesatuan sekerja yang lebih progresif dan matang sekiranya kesatuan tersebut benar-benar mahukan perubahan,” katanya.

Sementara itu, Effendy menyarankan kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) dapat merangka garis panduan memastikan keharmonian dan solidariti kesatuan sekerja di negara terpelihara, selain mempertingkatkan lagi jumlah keahlian kesatuan sekerja.

Pada 5 Okt, Dewan Rakyat meluluskan RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022, yang bertujuan mewujudkan kerangka perundangan bagi menyokong penubuhan dan pentadbiran kesatuan sekerja secara matang, progresif dan relevan.

RUU itu diluluskan dengan undian suara selepas 12 Ahli Parlimen menyertai perbahasan sejurus ia dibentangkan untuk bacaan kedua dan ketiga.

RUU bagi meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, pada 24 Mac 2022.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan ketika membentangkan RUU itu, berkata pindaan berkenaan selaras dengan kebebasan berpersatuan kerana pekerja dan majikan bebas untuk menubuhkan atau menyertai mana-mana kesatuan sekerja pilihan mereka.

Pada Jun, beberapa kesatuan kerja menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan menggesa kerajaan menangguhkan pindaan RUU itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.