
Minggu lepas, Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, berkata gabungan itu tidak akan mengadakan pilihan raya negeri di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang bagi membolehkan pemimpinnya memberi tumpuan terhadap persediaan banjir.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata sekiranya Pulau Pinang membubarkan DUN, ia akan “menjejaskan” kredibilitinya memetik musim tengkujuh untuk membantah bagi mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum akan datang (PRU15).
“Ia akan menjadi janggal, tetapi saya faham mengapa DAP mahu membubarkan DUN,” katanya kepada FMT.
“Katakan Barisan Nasional memenangi PRU15 dan membentuk kerajaan persekutuan seterusnya. Ia akan berada dalam kedudukan yang baik (untuk menunjukkan prestasi yang baik) dalam pilihan raya negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
“DAP faham perkara ini. Sebab itu mereka tidak sabar-sabar untuk membubarkan DUN kerana (sekarang) mereka berada dalam kedudukan yang baik (untuk mengekalkan Pulau Pinang).”
Semalam, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata parti itu akan menyerahkan kepada kepimpinan PH untuk memutuskan sama ada akan membubarkan DUN Pulau Pinang. Keputusan itu dijangka hari ini.
Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata, PH sepatutnya tiada masalah untuk mengekalkan Pulau Pinang dan Selangor jika pilihan raya negeri (PRN) diadakan seiring dengan PRU15.
“Bagaimanapun, Negeri Sembilan kurang dapat diramal, memandangkan PH hanya mempunyai lebih empat kerusi berbanding BN,” katanya.
“PH Negeri Sembilan mungkin tidak merasakan mereka bersedia untuk menghadapi PRN sekarang.”
Sementara itu, James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, adalah lebih baik bagi Pulau Pinang mengadakan pilihan raya Parlimen dan negeri secara berasingan.
Ini bagi membolehkan pengundi membuat keputusan mengenai isu persekutuan dan negeri, katanya.
Chin berkata, beliau tidak percaya pilihan DAP Pulau Pinang untuk mengadakan PRN sekarang akan menjejaskan hubungan dengan rakan gabungannya.
Gabungan itu berdepan masalah lebih besar, katanya, termasuk membabitkan pembahagian kerusi, pemilihan calon, dan “menjual” idea Anwar sebagai calon perdana menteri.