Hajiji sah tak tanding PRU15

Hajiji sah tak tanding PRU15

Ketua menteri Sabah itu hanya memberi jawapan ringkas bahawa beliau 'tidak berminat' untuk menjadi calon pada pilihan raya umum kali ini.

Hajiji Noor hadir merasmikan Persidangan Tahunan Perwakilan Bersatu Tuaran di daerah berkenaan, hari ini. (Gambar Facebook Hajiji Noor)
TUARAN:
Ketua Menteri Hajiji Noor, hari ini, mengesahkan yang beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Menurutnya, beliau tidak berminat untuk menjadi calon pada pilihan raya kali ini walaupun ada permintaan supaya bertanding di kerusi Parlimen Tuaran.

“Saya tidak berminat,” katanya ringkas ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Tahunan Perwakilan Bersatu Tuaran, di sini, hari ini.

Selain itu, Hajiji yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah berkata, GRS berkemungkinan besar akan meletakkan calon di kerusi Parlimen itu.

Bagaimanapun, katanya, ia akan dibincangkan lebih lanjut dalam mesyuarat majlis tertinggi GRS malam ini sebelum dibawa dalam perbincangan bersama Barisan Nasional (BN) selepas itu.

“Secara ‘bisik-bisik’ sebelum ini memang ‘okey’ tapi kita kena secara rasmi nanti. Biarlah rasmi apabila sampai masanya,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai sama ada GRS akan bertembung dengan rakan parti lain yang sebelum ini menyatakan sokongan terhadap gabungan itu, Hajiji berkata ia tidak akan berlaku pada PRU15 nanti.

Katanya, parti terbabit sudah dianggap sebagai rakan bersekutu GRS yang mempunyai satu perjuangan bersama gabungan berkenaan.

“Tetapi kita akan bersama-sama mereka untuk memastikan GRS ini sebagai satu parti yang kuat,” katanya.

Antara rakan bersekutu GRS ialah Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Harapan Rakyat Sabah, Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Komponen GRS pula terdiri daripada Bersatu, STAR, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Usno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.